SUKAN»Bola
Khamis, 17 Oktober 2019 | 5:23pm
PENYERANG Pahang, Lazarus Kaimbi dan Norshahrul Idlan Talaha. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Tok Gajah hadapi krisis kecederaan
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Penyerang Pahang, Lazarus Kaimbi dan Norshahrul Idlan Talaha antara pemain terbaru berdepan masalah kecederaan menjelang pertemuan dengan Kedah, Sabtu ini.
Empat pemain lalin iaitu Muslim Ahmad, Nor Azam Azih, Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Faisal Halim yang turut cedera sebelum ini masih dalam proses pemulihan.
Berikutan itu peengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, Kaimbi masih belum pasti akan berada dalam kesebelasan utama apabila berdepan Kedah pada separuh akhir pertama piala berprestij itu.
"Kecederaan dialami pemain import dari Namibia itu berlaku dalam saingan suku akhir tetapi menjelang perlawanan dengan skuad Helang Merah kecederaan itu dilihat belum ada petanda positif.
"Mat Yo (Norshahrul) pula cedera pada sesi latihan petang semalam dan diharap tidak serius kerana Kedah dilihat konsisten dalam saingan Piala Malaysia," katanya.
Ditanya mengenai empat pemain yang turut cedera, Dollah mengesahkan Muslim dan Zuhair Aizat tidak dapat disenaraikan.
Namun katanya, kedudukan Nor Azam dan Faisal masih 50-50 untuk bersama memperkasakan skuad Tok Gajah.
"Tapi saya percaya masalah kecederaan dialami beberapa pemain tidak menjejaskan misi utama untuk mendapat bekalan selesa di Alor Setar.
"Jika keputusan berpihak kepada Pahang, ia memberi kelebihan apabila bertemu sekali lagi pada separuh akhir kedua di Kuantan pada 26 Oktober ini," katanya.
Untuk rekod dalam saingan Liga Super musim ini, skuad Tok Gajah menang 1-0 ke atas skuad Helang Merah di Kuantan manakala seri 0-0 di Alor Setar.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 17 Oktober 2019 | 5:23pm
No comments:
Post a Comment