PEMAIN SAYAP JDT, Safawi Rasid melakukan rembatan ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FCI di Larkin. -Facebook JST
Mohamad Faizal Hashim
28 September 2019 10:50 PM
JOHOR BAHRU 28 Sept. - Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan pertama melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas membaham Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam aksi suku akhir kedua di sini, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera masing-masing meledak dua gol pada babak pertama bagi membantu pasukan tuan rumah menempah tiket ke peringkat empat terbaik menerusi agregat 5-1.
Cabrera membuka tirai jaringan JDT pada minit ke-16 dengan menyempurnakan sepakan penalti setelah pemain pertahanan mereka, La Vere Corbin Ong dikasari oleh Sanjar Shaakhmedov.
Enam minit berselang, Safawi menggandakan kedudukan Harimau Selatan dengan membuat jaringan menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gawang, Muhamad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-22.
Safawi menambah derita kelab lamanya apabila menjaringkan gol kedua peribadi apabila memanfaatkan umpanan cantik dari Diogo Luis Santo dengan melakukan sepakan gunting pada minit ke-36.
Pengendali Terengganu, Mohd. Nafuzi Mahammad Zain seakan tidak mempunyai jawapan kepada serangan JDT apabila benteng pertahanan skuad Penyu sekali lagi dibolosi menerusi jaringan Cabrera yang mudah menolak masuk hantaran Corbin Ong pada minit ke-39.
Terengganu akhirnya memperoleh gol pembukaan pada penghujung babak pertama menerusi jaringan kapten pasukan, Andrew Lee Tuck hasil rembatan dari luar kotak penalti.
Skuad Penyu cuba bangkit pada babak kedua perlawanan dengan mempertingkatkan rentak permainan namun gagal menambah jaringan hingga tamat perlawanan.- SUMBER-UTUSAN ONLINE 28 September 2019 10:50 PM
No comments:
Post a Comment