MyMetroArena
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
PENCAPAIAN luar biasa meraih emas ke-10 pada Kejohanan
Trek Asia dicapai dengan penuh sukar jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni
Awang.
Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu berkongsi
secara terperinci kejayaan meraih emas pecut individu di Korea Selatan semalam
menewaskan Yuta Wakimoto dari Jepun 2-1 menerusi media sosial.
Dengan menggelarkan dirinya sebagai “The Man Who Refused
To Be Beaten” (individu yang enggan ditewaskan) dia memanjangkan syukur kepada
Allah susulan kemenangan itu.
“Termenung membisu saya dalam bas ketika perjalanan
pulang dari velodrom ke hotel yang mengambil masa sejam. Untuk makluman, acara
pecut ini jauh bezanya dengan keirin.
AZIZUL (tengah) diapit pelumba Jepun, Wakimoto (kiri) dan
Tomohiro Fukaya di Jincheon, semalam. — FOTO Fadhil Mohd Zonis
“Keirin membabitkan enam pelumba, jadi taktik akan
menjadi lebih kompleks dan kebanyakan masa taktik anda boleh diganggu pihak
lawan seperti himpitan, kepungan dan sebagainya.
“Dalam keirin, pelumba boleh menggunakan taktik musuh
untuk membantu taktik peribadi mereka. Sebagai contoh, mengekori lawan ke
hadapan (boleh jimat tenaga) atau mengekori pecutan lawan sebelum melakukan
‘counter attack’.
“Berbeza dengan pecut, pelumba perlu berlumba ‘head to
head’, ‘toe to toe’. Tidak ada elemen luar lain yang boleh digunakan untuk
membantu pecutan atau pergerakan. Saya suka mengibaratkan pecut seperti tinju.
“Ya betul, kerana anda dengan lawan anda harus bergomol
sesama sendiri menggunakan kudrat dan taktik yang anda ada.
AZIZUL ketika berlumba di Velodrom Nasional, Nilai tahun
lalu. — FOTO Eizairi Shamsudin
“Cerita perlumbaan akhir semalam saya cuba ringkaskan
sebanyak mungkin kerana terlalu panjang untuk dikongsikan. Mungkin kalau ada rezeki
saya akan terbitkan buku satu hari nanti untuk cerita secara terperinci apa
yang berlaku ketika setiap perlumbaan yang saya menangi.
“Saya percaya ramai yang tidak dapat bayangkan apa
sebenarnya yang berlaku dan terlalu banyak cerita menarik yang boleh
dikongsikan bersama.”
Kejayaan semalam adalah keenam baginya dalam acara pecut
individu selepas 2008, 2009, 2014, 2017 dan 2019.
Selain itu dia meraih emas dalam keirin pada 2007, 2008
dan 2015 serta pecut berpasukan pada 2009.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober
2019 @ 10:58 AM
No comments:
Post a Comment