Ad

Saturday, 5 October 2019

Pengalaman jadi taruhan Aidil

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 4 Oktober 2019
 
Aksi pemain pertahanan kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak (tengah) pada hari pertama sesi latihan pasukan tersebut sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 hari ini. - Foto Bernama

HARIMAU Malaya diminta mengurangkan kesilapan dan kekal fokus sepanjang perlawanan jika berhajat meraih kemenangan ketika menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi Khamis depan.


Tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak berkata, melihat kepada aksi bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu, tidak banyak perubahan yang harus dilakukan, sebaliknya Harimau Malaya perlu mengurangkan kesilapan ketika bertahan selain fokus dalam aspek serangan.

“Kita dah tengok corak permainan Vietnam dan pernah bertemu mereka sebelum ini, kita tahu semua pemain mereka pantas. Jadi sebagai benteng pertahanan, kita perlu mengawasi kepantasan pemain-pemain mereka.

“Melalui pengalaman bertemu mereka sebelum ini, saya mungkin boleh membaca sedikit sebanyak cara permainan mereka. Insya-ALLAH apabila bertemu Vietnam nanti, saya akan gunakan pengalaman ini untuk mematahkan serangan mereka,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Mengulas kepercayaan diberikan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang kembali menagih khidmatnya, Aidil mengakui sedikit tertekan dengan tugas berat itu, namun menyifatkan ia adalah perkara biasa sebagai seorang pemain.

“Bagi saya, tekanan boleh menjadikan saya lebih fokus dalam permainan dan sebagai senior, saya perlu bagi apa yang saya ada untuk pasukan. Begitupun, ia tak bermakna sebagai pemain senior saya boleh buat apa yang saya suka, sebaliknya perlu mengikut perancangan pasukan,” jelasnya.

Pada masa sama, Aidil menyifatkan kepulangannya dalam skuad Harimau Malaya merupakan satu pengiktirafan tertinggi untuk dirinya bagi terus menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

“Memang kecewa apabila tidak dapat bersama rakan sepasukan apabila berjuang di tengah padang dan sebagai pemain, kita kena terima perkara itu dengan positif dan perlu bekerja keras untuk meraih kembali tempat dalam skuad utama.

"Perasaan apabila tengok rakan sepasukan beraksi menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas membuat saya teruja untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan

"Terima kasih kepada jurulatih (Cheng Hoe) yang memberi peluang kepada saya,” kata Aidil yang telah mencatat 82 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan sejak 2007.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/50620/BERITA/Sukan/Pengalaman-jadi-taruhan-Aidil© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

No comments:

Post a Comment