Ad

Monday 7 October 2019

Bukan Harimau Malaya yang dulu

 SKUAD Harimau Malaya bergambar di KLIA, Sepang hari ini sebelum
SKUAD Harimau Malaya bergambar di KLIA, Sepang hari ini sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam untuk beraksi dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - BERNAMA
07 Oktober 2019 2:21 PM
SEPANG 7 Okt. -  Pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan yakin pasukannya mampu meraih keputusan positif di Hanoi, Khamis ini walaupun Vietnam mempunyai kelebihan daripada segi rekod pertemuan.

"Kami kini skuad yang berbeza, sama ada daripada segi permainan mahupun keyakinan ketika mengawal bola.


"Ia akan jadi satu permainan yang sukar kerana Vietnam mempunyai rekod yang lebih baik berbanding kami.

"Bagaimanapun, kita kini memasuki satu era baharu, masa baharu dan kami hanya perlu bermain dengan corak permainan sendiri," kata pemain Perak itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Kali terakhir Malaysia menumpaskan Vietnam adalah pada separuh akhir kedua Piala AFF 2014 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Harimau Malaya ketika itu mengalahkan skuad Naga Emas 4-2, sekali gus mara ke final menerusi agregat 5-4.

Dalam saingan Piala AFF 2018, Malaysia tumpas 0-2 kepada Vietnam di peringkat kumpulan.

Harimau Malaysia bagaimanapun mengikat anak-anak buah Park Hang-seo 2-2 dalam final pertama di Bukit Jalil sebelum tewas tipis 0-1 di Hanoi.



Vietnam yang menghuni ranking ke-99 dunia seri tanpa jaringan dengan Thailand dalam aksi pembukaan Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia, yang berada pada ranking ke-158 dunia pula menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta sebelum kalah tipis 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil. sumber- UTUSAN ONLINE  07 Oktober 2019 2:21 PM

No comments:

Post a Comment