MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
DOLLAH Salleh berada dalam dilema untuk menyenaraikan kesebelasan utama skuad Pahang berdepan Kedah menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini.
Pengendali Tok Gajah itu berkata, kembalinya empat tonggak yang sebelum ini tersisih akibat kecederaan menyukarkannya membuat pilihan.
"Di sebalik berita gembira sebaik empat pemain sudah kembali berlatih bersama pasukan, ia turut memerlukan saya membuat keputusan tepat dalam menentukan kesebelasan pemain Sabtu ini.
"Ketika ini semua pemain begitu bersemangat dan mempamerkan komitmen tinggi untuk bermain dan membantu Pahang melangkah ke final.
"Kita dapat lihat persembahan cemerlang seperti dipamerkan Wan Zaharulnizan Wan Zakaria, Saddil Ramdani dan beberapa pemain lain berada pada prestasi terbaik.
"Dalam situasi ini, ia membuatkan saya berada dalam dilema memastikan pilihan dibuat adalah tepat untuk menafikan Kedah daripada beroleh kemenangan," katanya.
Empat tonggak pasukan sebelum ini dihimpit masalah kecederaan adalah Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad, Faisal Halim dan Zuhair Aizat Mohd Nazri.
Tanpa mereka pada separuh akhir pertama di Alor Setar 19 Oktober lalu, skuad Tok Gajah mencatat keputusan seri 3-3 berdepan Helang Merah.
Justeru, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, pemain yang bakal menggalas tugas itu diharap mampu memikul tanggungjawab diberikan.
Katanya, mereka yang disenaraikan nanti perlu memberikan komitmen tinggi untuk kembali membawa Pahang ke pentas final selepas kali terakhir melakukannya pada 2014.
"Saya percaya dengan kelebihan beraksi di laman sendiri dan dibantu sokongan padu peminat, misi ke final akan menjadi kenyataan," katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:39 PM
No comments:
Post a Comment