Ad

Tuesday, 1 September 2020

Kami belum panik - Ishak

MyMetroArena

ISHAK Kunju (kiri) belum mahu tekan butang panik lagi dalam aksi Liga Super. FOTO Ihsan PDRM.

Malik Muhamad

sukanteam@nstp.com.my


PENDATANG baharu Liga Super, PDRM belum mahu menekan butang panik, sebaliknya akan terus memburu peluang untuk kembali bangkit dalam pentas liga yang masih berbaki enam perlawanan lagi.


Pengendalinya, Mohamad Ishak Kunju Mohamad berkata, beliau tetap positif terhadap pasukannya untuk mendapatkan kemenangan sulung dalam liga sebagai pemangkin semangat sebelum melakar kejayaan dalam aksi seterusnya.


Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata, impiannya kini adalah untuk memastikan pasukannya kekal bersaing dalam kancah divisyen satu musim depan selain layak beraksi pada pentas Piala Malaysia musim ini walaupun skuadnya diakui serba kekurangan.


"Walaupun belum lagi melakar kemenangan setakat ini, saya tidak akan sesekali panik dengan situasi ini, sebaliknya percaya anak buah mampu mengorak langkah dalam perlawanan seterusnya untuk mencatat kemenangan pertama.


"Lagipun kita ada enam perlawanan lagi termasuk yang terdekat bertemu pasukan FELDA United Sabtu ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, mungkin kita akan lakukan sedikit perubahan bagi memantapkan lagi pasukan," katanya.


Berdasarkan kedudukan terkini liga, skuad The Cops itu menghuni di tangga tercorot dengan negatif dua mata selepas bermula liga dengan negatif tiga mata berikutan skuad itu terpalit dengan isu tunggakan gaji pemainnya musim lalu.


Skuad yang hanya mempunyai dua pemain import dari Turkmenistan iaitu Shohrat Soyunov dan rakan senegaranya, Serdar Geldiyev selepas penyerang kelahiran England, Antonio Timothy German menghilangkan diri, kini baharu mencatat satu keputusan seri 0-0 dengan Sabah manakala empat aksi lagi tewas kepada Kedah (0-2), UiTM (1-3), Johor Darul Ta[zim (0-1) dan Melaka (1-3).


Selain FELDA United skuad itu bakal menanti cabaran Pahang, Perak, Terengganu FC, Selangor dan terakhir PJ City pada 10 Oktober.


Mengulas lanjut, bekas pertahanan kental skuad Terengganu itu berkata, biarpun skuadnya dibarisi pemain kurang pengalaman dan dua tenaga import, motivasi dalam kalangan anak buahnya tetap tinggi untuk mempertahankan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan.


"Ketika bertemu Kedah Sabtu lalu, pemain sudah beraksi baik dengan bijak mengawal permainan selain berpeluang menjaringkan gol, namun kesilapan individu membawa padah apabila kita dihukum dengan dua jaringan pasukan lawan.


"Selain itu kurang pengalaman terutama jentera serangan menyebabkan peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan, tapi saya tidak mahu mencipta alasan sebaliknya percaya pemain mampu meningkat dalam perlawanan seterusnya untuk rakam kemenangan pertama sebagai tonik kepada kita untuk perlawanan seterusnya," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:38 PM

No comments:

Post a Comment