Ad

Tuesday, 1 September 2020

'Masuk cara baik, keluar pun kena cara baik'

 SUKAN»Bola

Isnin, 31 Ogos 2020 | 1:09pm

LEGENDA bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir.

LEGENDA bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir.

'Masuk cara baik, keluar pun kena cara baik'

Oleh Syafiq Aznan

syafiq.aznan@bh.com.

KUALA LUMPUR: Itu nasihat yang diberikan legenda bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir kepada pemain sayap Tok Gajah, Mohamadou Sumareh jika benar pemain naturalisasi pertama negara itu mahu meninggalkan pasukan terbabit dan mencari cabaran baharu bersama pasukan lain.


Jelasnya, tindakan yang diambil oleh pemain berusia 25 tahun itu dengan cara 'ponteng' latihan selama hampir sebulan juga disifatkan sebagai satu keputusan yang tidak mencerminkan dasar profesionalisme dan tidak seharusnya dilakukan oleh mana-mana pemain bola sepak.


"Dia ada kontrak dengan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP). Jadi dia perlulah ikut apa yang ada dalam kontrak kerana dia bekerja dengan bola sepak. Apa yang dilakukan itu (ponteng latihan) boleh dianggap seperti melanggar disiplin.


"Jadi sebagai majikan, PBNP ada hak untuk mengambil apa-apa tindakan kepada Sumareh. Cuma apa hukumannya nanti, kita serahkan kepada pengurusan PBNP untuk mengambil tindakan sewajarnya.


"Kalau betullah dia memang mahu keluar dan tiada lagi hati bersama Pahang, perkara ini boleh diselesaikan secara perbincangan dalaman dan kedua-dua pihak boleh mencari situasi 'menang-menang' disebabkan dia pun ada baki kontrak lagi bersama Pahang.


"Dia masuk Pahang dengan cara baik, jadi dia perlu cari jalan untuk keluar dengan cara baik juga. Sebab dia pun dah tiada hati, saya rasa PBNP pun tiada masalah untuk melepaskannya tetapi biarlah ia dibuat mengikut prosedur sepatutnya," katanya.


Semalam, pengurus pasukan skuad Tok Gajah, Datuk Suffian Awang mengesahkan pemain kebangsaan itu tidak hadir ke latihan selama hampir sebulan dan juga tidak kelihatan pada aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Jumaat lalu.


Justeru, Suffian menjelaskan perkara itu akan dibawa ke pengurusan tertinggi PBNP sebelum apa-apa keputusan diambil terhadap pemain itu selain mengesahkan mana-mana pasukan yang berminat dengan pemain itu belum lagi menghubungi PBNP.


Bagaimanapun, pemain itu sudah meminta maaf atas tindakannya itu menerusi laman sosial Instagram sambil turut memberi bayangan mengenai masa depannya selepas dikhabarkan akan meninggalkan pasukan itu bermula musim depan.


"Kepada penyokong dan peminat saya yang dihormati, sayangnya perkara akhirnya terjadi begini. Saya tidak berniat untuk mungkir janji mengenai sokongan saya terhadap pasukan yang berprestij ini.


"Kadang kadang, sesuatu tidak berlaku seperti mana yang diharapkan. Saya meminta maaf atas segala kesulitan yang berlaku disebabkan perkara ini.


"Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lanjut. Hanya masa yang akan menentukan segalanya," kata Sumareh.SUMBER-BH ONLINE

No comments:

Post a Comment