Ad

Monday, 17 May 2021

Malaysia miliki fizikal persis 'Pak Arab'

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



DE Paula (kiri) antara pemain yang dikatakan Cheng Hoe mempunyai kelebihan fizikal. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia

Kuala Lumpur: Pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat memiliki fizikal lebih besar dengan dibarisi pemain naturalisasi, namun ia bukan alasan untuk skuad Harimau Malaya goyang atau mudah mengalah menjelang pertemuan di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di negara berkenaan.

Sebaliknya, skuad Harimau Malaya yang mula menjalani latihan semalam sebenarnya tampil lebih meyakinkan dengan barisan pemain persis 'Pak Arab' terdiri daripada Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula, Junior Eldstar dan Mohamadou Sumareh sekali gus mampu menjadi duri dalam daging kepada UAE.

Ketika ini, boleh dikatakan sasaran utama UAE sebagai mangsa adalah Malaysia yang dilihat mampu menjadi penghalang seterusnya menidakkan peluang mereka melangkah ke pusingan seterusnya.

Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe sedia maklum bahawa UAE sudah merekrut beberapa 'awang' import sebagai pemain naturalisasi mereka sebagai persediaan untuk memenangi perlawanan pada baki aksi Kumpulan G kelak.

Beliau berkata, ketika ini perkara penting adalah taktikal dan kemahiran yang dimiliki dalam merencanakan pasukan sekali gus mampu memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Malaya.

"Saya sedia maklum UAE mengambil beberapa pemain sebagai naturalisasi dan ini juga adalah cabaran kepada kita apabila berdepan dengan pasukan itu.

"Namun, bagi saya mereka tidak memiliki kelebihan fizikal kerana ada beberapa pemain kita seperti Liridon, Junior dan Paula turut mampu memberi tentangan sengit.

"Pada perlawanan terbabit, fizikal bukanlah perkara utama namun perkara penting adalah taktikal yang diterapkan oleh pasukan," katanya.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan mula menjalani latihan kelmarin sebelum mengharungi dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain.

Ia sebagai persiapan untuk menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai yang menyaksikan skuad kebangsaan akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya apabila menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).Disiarkan pada: Mei 17, 2021 @ 9:34pm.1

No comments:

Post a Comment