Mei 27, 2021 @ 7:13am
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan pertama di Manama, Bahrain, malam tadi. - Foto ihsan Facebook FAM.
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap pemainnya akan dapat belajar sesuatu daripada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, menentang pasukan ke-99 dunia Bahrain, di Stadium Nasional Bahrain di Riffa pada Jumaat ini.
Cheng Hoe menyatakan perlawanan persahabatan menentang Bahrain itu sepatutnya memberikan mereka 'bayangan', bagaimana sepatutnya bermain dalam aksi penting menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai 3 Jun ini.
Ini kerana beliau berkata, Bahrain bermain dengan cara yang sama dengan permainan UAE, terutamanya dalam serangan dan pertahanan.
"Pemain perlu belajar dan perhatikan cara Bahrain menyerang dan bertahan, kerana permainan mereka lebih kurang seperti UAE. Jika pemain kita boleh lakukannya, kitatentunya bersedia untuk perlawanan menentang UAE," katanya dalam sidang media secara maya semalam.
Jurulatih berusia 52 tahun itu berharap, pemain akan dapat menghadapi tekanan selepas kekalahan 1-4 kepada Kuwait pada perlawanan Ahad lalu, dengan mengambil langkah lebih berhati-hati ketika bertemu Bahrain, kerana pasukan itu telah seri dalam pertemuan menentang Ukraine, dalam satu lagi perlawanan persahabatan pada hari yang sama.
Cheng Hoe berkata, pasukan kejurulatihannya masih lagi menilai tahap kecergasan pemain mereka, termasuk taktik yang akan digunakan ketika menentang Bahrain, Jumaat ini.
Dalam masa yang sama Cheng Hoe memberikan ingatan kepada pemainnya untuk menjangkakan perlawanan yang lebih hebat daripada UAE yang kelihatan lebih kuat berbanding ketika pertemuan mereka di Bukit Jalil pada 10 September 2019.
Bekas jurulatih Kedah itu memberitahu pemainnya untuk berjaga-jaga dengan penyerang UAE, Ali Mabkhout, yang melakukan hatrik ketika membantu pasukannya mengalahkan Jordan 5-1 dalam perlawanan persahabatan Isnin lalu kerana pemain itu mampu memberikan kesukaran kepada pertahanan Harimau Malaya pada perlawanan yang akan datang.
Selepas bertemu UAE, Malaysia akan menamatkan perlawanan Kumpulan G mereka dengan bertemu Vietnam pada 11 Jun dan Thailand (15 Jun).- BERNAMA.1
____________________________________________
No comments:
Post a Comment