Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
BARISAN pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO FB FAM
Kuala Lumpur: Hanya doa dapat dititipkan kepada barisan skuad Harimau Malaya dalam misi memastikan kejayaan memihak kepada negara pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan.
Barisan Harimau Malaya yang akan berlepas ke Dubai esok terlebih dahulu mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain sebelum berhadapan saingan kelayakan terbabit.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi ucapannya di Youtube mewakili rakyat Malaysia khususnya penyokong bola sepak tempatan akan sentiasa mendoakan barisan skuad Harimau Malaya supaya meraih kejayaan dan membawa pulang berita gembira kepada semua.
"Kejayaan ini adalah kejayaan kita semua dan bertarunglah atas nama demi tanah air kita, bertarunglah demi Malaysia.
"Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia, penyokong kuat bola sepak tanah air khususnya mendoakan kejayaan buat pasukan negara. Kibarkanlah panji-panji negara dengan bangga," katanya.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berlepas ke Dubai esok dalam siri perlawanan persahabatan pertama menentang Kuwait.
Selepas menentang Kuwait, skuad kebangsaan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei dalam aksi persahabatan kedua yang juga perlawanan Tier 1, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Malaysia yang berada di kedudukan kedua akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.Disiarkan pada: Mei 19, 2021 @ 2:28pm.1
_______________________________________
No comments:
Post a Comment