Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
AZMEER (kanan) hulur bantuan kepada Azhar. FOTO NSTP
Kuala Lumpur: Murni sungguh hati bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof apabila mengesahkan sedia menawarkan sebuah rumah yang selesa dan menyediakan kelas agama buat legenda bola sepak Selangor, Azhar Sharif yang kini hidup daif di hutan simpan di Kampung Kemensah, Hulu Klang.
Jelas Azmeer, dirinya terpanggil untuk membantu Azhar selepas terbaca laporan Arena Metro mengenai keinginan bekas pemain tengah Harimau Malaya itu yang mahu mencari ilmu agama sebagai bekalan untuk di akhirat kelak.
Katanya, dia sanggup membina sebuah rumah berdekatan pusat pengajian Islam miliknya iaitu Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Kedah untuk Azhar, sekaligus berhijrah ke negeri Jelapang Padi itu.
"Saya sebenarnya tadi nak tulis di media sosial tawaran kepada otai (Azhar Sharif) kita selepas terbaca laporan mengenainya.
"Tapi tiba-tiba ada urusan lain yang buat saya terlupa, Alhamdulillah di sini saya nak tawarkan kepada abang Azhar menetap di tempat pengajian Islam saya di sini (Kedah).
"Insya-Allah saya akan sediakan tempat tinggal yang selesa buatnya dan saya juga akan bina sebuah rumah dengan satu bilik supaya lebih selesa dan memudahkan untuk bergerak ke pusat pengajian untuk belajar agama.
"Di sini, kita akan belajar mengaji dan perkara-perkara lain lagi dan ia memang sesuai buat otai kita," katanya kepada Arena Metro.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan kehidupan daif Azhar yang kini hidup menumpang di sebuah rumah usang di dalam hutan dan mengakui kadangkala hanya makan ubi kayu untuk meneruskan kehidupannya.
Azhar, 56, yang seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah antara tonggak utama Selangor pada era pertengahan 1980-an yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.
Malah, dia juga pernah beberapa kali menyarung jersi Harimau Malaya dengan memori paling manis berjaya membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada tahun 1986.
Menurut Azmeer lagi, memang menjadi impiannya untuk membantu ramai lagi pihak memerlukan terutamanya kepada bekas pemain yang kini hidup dalam kesusahan.
"Sebenarnya saya ada satu impian iaitu nak wujudkan Persatuan Kebajikan Bekas Pemain suatu hari nanti. Mungkin kat luar sana dah ada persatuan macam itu, tapi saya nak nasib bekas pemain dibela dengan sebaiknya.
"Kalau dulu pemain dipuja tapi kenapa bila dah bersara tak ada siapa yang nak ambil tahu. Mana-mana pemain yang nak ikut saya nanti, mungkin kita boleh sama-sama sumbangkan RM100 sebulan untuk bantu dana kita.
"Insya-Allah selepas siap sepenuhnya pusat pengajian saya nanti, saya akan usahakan pula impian saya itu untuk bantu bekas pemain negara pula," katanya.
Disiarkan pada: Mei 25, 2021 @ 9:48pm.1
No comments:
Post a Comment