JDT kekal ampuh di gelanggang lawan
Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
10 Mei 2021, 11:05 am
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus gah mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang lawan pada saingan Liga Super musim ini apabila menang 3-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam kelmarin.
Tiga gol menerusi jaringan Safawi Rasid, Bergson da Silva dan Mohamadou Sumareh turut memastikan skuad Harimau Selatan itu terus mengukuhkan cengkaman di persada liga.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora tanpa berselindung mengakui pemain-pemainnya menampilkan aksi terbaik meskipun beraksi dalam keadaan padang yang kurang baik.
“Saya sangat gembira dengan prestasi semua pemain walaupun berdepan pasukan yang hebat seperti Penang. Kemenangan ini beri suntikan semangat kepada kami menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) nanti.
“Ya, kami belum tewas (di tempat lawan) dan amat penting untuk catat kemenangan apabila berkunjung ke tempat mereka. Bagi saya, ini adalah salah satu aksi terbaik kami musim ini,” kata pengendali dari Mexico itu selepas tamat perlawanan.
Meskipun mencatat kemenangan selesa, namun Mora tetap memuji aksi Penang yang banyak memberikan kesukaran kepada mereka sepanjang 90 minit permainan.
Selain itu, beliau juga gembira dengan permainan yang ditampilkan pemain tengah, Safiq Rahim apabila banyak menjadi antara kunci kemenangan Harimau Selatan.
“Penang bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka buatkan kami berada dalam keadaan sukar sepanjang perlawanan. Mereka memiliki corak permainan yang unik.
“Pada masa sama, saya juga gembira dengan prestasi Safiq kerana dia sentiasa tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu pasukan. Bagi saya, Safiq sudah boleh dianggap sebagai legenda,” ujarnya.1
____________________________________________________________
1https://www.kosmo.com.my/2021/05/10/jdt-kekal-ampuh-di-gelanggang-lawan/
No comments:
Post a Comment