Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.
Aksi Bergson (kiri) dalam saingan Liga M. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Johor Bahru: Spekulasi mengenai status penyerang import Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva sama ada terus bersama pasukan itu atau sebaliknya, akhirnya terjawab selepas juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu mengikat pemain import dari Brazil berkenaan secara tetap.
Bergson sebelum ini dipinjamkan selama empat bulan daripada kelab Brazil, Fortaleza dan tempoh pinjamannya bersama JDT akan berakhir hujung bulan depan.
Namun, dengan pengesahan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest meleraikan segala persoalan mengenai kedudukan penyerang itu yang kini sudah meledakkan 11 gol selepas membuat 11 penampilan dalam saingan liga elit domestik.
"JDT dengan sukacita mengumumkan sudah menandatangani Bergson (Da Silva) secara tetap," kata Prest dalam kenyataan ringkas.
Bagaimanapun dalam kenyataan itu, Prest tidak mendedahkan jumlah bayaran yang harus dibayar kepada Fortaleza selepas mengesahkan untuk mendapat khidmat Bergson.
Sebelum ini, pengendali JDT, Benjamin Mora memberi bayangan betapa dia mahu terus menggunakan khidmat penyerang berusia 30 tahun itu selepas prestasi memukaunya berjaya membantu JDT untuk terus kekal di persada liga.
Katanya, Bergson adalah penjaring terbanyak JDT dan kerap menjaringkan gol dalam hampir setiap perlawanan dan beliau juga menegaskan selaku jurulatih amat penting untuk memiliki pemain itu.
Terdahulu, JDT mengumumkan mengikat pemain kelahiran Australia, Shane Lowry bagi menguatkan posisi pertahanan dan tengah.Disiarkan pada: Mei 20, 2021 @ 5:26pm.1
______________________________________________________________
No comments:
Post a Comment