Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
NOORUL (dua kiri) bersama Azhar (kiri) pada pertemuan hari ini. FOTO Yakeb
Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berjanji akan terus membela nasib bekas pemain bola sepak negara, Azhar Sharif yang kini hidup daif di hutan simpan di Kampung Kemensah, Hulu Klang, Selangor.
Menurut Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, pihaknya bersedia untuk membantu dan menunaikan hasrat Azhar yang mahu mendalami ilmu agama dengan menempatkannya di kediaman lebih sesuai dan selesa.
Katanya, legenda bola sepak Red Giants itu sebenarnya adalah salah seorang ahli Yakeb yang aktif dan sering menerima bantuan sebelum ini.
"Kita akan jumpa Azhar di tempat tinggalnya untuk melihat apa bentuk bantuan yang kita boleh berikan kepadanya.
"Saya dah lihat laporan (akhbar Harian Metro) mengenai kehidupannya jadi kita nak bantunya. Mengenai keinginannya untuk mendalami ilmu agama lebih mendalam, saya rasa itu tak ada masalah.
"Kita akan cuba dapat mana-mana badan atau agensi dan kemungkinan saya akan mencuba dapatkan bantuan daripada Exco Selangor kerana kita ada jalinan yang baik dan ini bukan perkara mustahil," katanya kepada Arena Metro.
Akhbar ini hari ini melaporkan kehidupan daif Azhar yang kini hidup menumpang di sebuah rumah usang di dalam hutan dan mengakui kadangkala hanya makan ubi kayu untuk meneruskan kehidupannya.
Azhar, 56, yang seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah antara tonggak utama Selangor pada era pertengahan 1980-an yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.
Malah, dia juga pernah beberapa kali menyarung jersi Harimau Malaya dengan memori paling manis berjaya membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada tahun 1986.
Jelas Noorul, Yakeb sudah beberapa kali membantu Azhar termasuk proses mendapatkan bantuan daripada Pusat Zakat Selangor dan Wilayah Persekutuan.
"Terbaru kita bagi bantuan RM300 setiap bulan bermula awal tahun ini kepadanya. Malah setiap kali ada program Yakeb kita selalu bawa dia tapi kali ini kita mahu bantunya keluar dari tempat tinggalnya sekarang dan sediakan tempat belajar agama buatnya," katanya.
Disiarkan pada: Mei 24, 2021 @ 10:54pm.1
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/05/709756/yakeb-janji-bantu-legenda-red-giants
No comments:
Post a Comment