Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
22 Mei 2021, 10:10 am
STATUS sebagai pemain naturalisasi tidak memberi jaminan buat pemain tengah, Liridon Krasniqi untuk berada dalam kesebelasan utama skuad bola sepak kebangsaan.
Pemain kelahiran Kosovo itu berkata, kehadirannya sebagai pemain naturalisasi bukanlah menjadi tiket untuk dia menempatkan diri dalam kesebelasan utama secara automatik.
Tambah Liridon, skuad Harimau Malaya dibarisi ramai pemain berkualiti, disebabkan itu mereka perlu bersaing sesama sendiri bagi memikat hati ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
“Sudah tentu saya gembira dan bangga dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan. Bagaimanapun, tidak ada jaminan untuk saya membarisi kesebelasan utama kerana kita memiliki skuad yang sangat kompetitif.
“Setiap pemain berpeluang untuk berada dalam kesebelasan utama. Kami perlu bersaing untuk merebut tempat tersebut dan ia adalah sesuatu yang baik untuk pasukan,” katanya kepada pemberita menerusi sidang akhbar dalam talian semalam.
Dia yang juga pemain kelab Australia, Newcastle Jets percaya mampu memberi sumbangan besar buat Harimau Malaya kerana pernah berada di bawah kendalian Cheng Hoe ketika menyarung jersi Kedah pada 2015 hingga 2017.
Selain itu, dia juga sedia menggunakan pengalamannya beraksi dalam Liga Australia bagi membantu pasukan negara menghadapi baki tiga aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
“Saya fikir beliau (Cheng Hoe) tahu apa yang saya boleh berikan untuk pasukan kerana kami sudah kenal satu sama lain. Saya juga yakin untuk menyumbang sesuatu buat pasukan.
“Pengalaman saya di Australia sangat menakjubkan dan saya banyak belajar di sana. Secara jujur, saya yakin sudah berada pada prestasi terbaik ketika ini,” ujar pemain berusia 29 tahun itu.
Pada masa sama, dia juga mendedahkan legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho turut mengucapkan selamat maju jaya buat Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan itu nanti.1
__________________________________________________
No comments:
Post a Comment