Ad

Friday, 21 May 2021

Empat pemain lengkapkan skuad Cheng Hoe hadapi misi getir

2021-05-21T19:49:04+08:00



KUALA LUMPUR: Kehadiran empat pemain berpangkalan di luar negara melengkapkan ‘ramuan’ diperlukan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dalam membentuk skuad terkuat, dalam menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Penyerang KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin hari ini menjadi pemain terakhir menyertai kem latihan pusat pasukan negara di Dubai, UAE yang bermula semalam, menjelang aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain, sebelum memulakan saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu.

Tiga lagi pemain, Liridon Krasniqi (Newcastle Jets), Dominic Tan (Police Tero FC) dan Junior Eldstal (Chonburi FC), masing-masing menyertai pasukan negara di Dubai, semalam.

Ia merupakan kali pertama sejak November 2019, Cheng Hoe dapat mengumpulkan sepenuhnya pemain, namun kali ini lebih istimewa apabila pengendali berusia 52 tahun itu kembali bekerjasama bersama Liridon, yang merupakan bekas pemainnya sewaktu di Kedah dahulu.

Katanya pengalaman dimiliki Liridon sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) memudahkannya, memahami corak permainan pasukan kebangsaan dan Cheng Hoe optimis pemain naturalisasi negara berusia 29 tahun itu, mampu memberikan sumbangan yang diharapkan.

...yang penting kita nak lihat (Liridon) pada perlawanan ujian lawan Kuwait dan Bahrain, itu yang akan menentukan corak permainannya. Corak permainan di kelab dan skuad kebangsaan berbeza, kekuatan pasukan lawan juga berbeza,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Bukan sahaja Liridon, Cheng Hoe menegaskan prestasi keseluruhan pasukan akan dinilai pada dua aksi persahabatan untuk melihat tahap persediaan mental serta fizikal, bagi menghadapi tiga perlawanan getir bertemu UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G.

Pada masa sama, beliau berharap barisan pemain segera mencapai keserasian, sambil mengakui pasukan negara mempunyai kekuatan di setiap posisi dengan barisan pemain dikumpulkan kali ini.

Saya rasa pemain juga tahu cabaran kali ini berbeza, kerana kita jauh daripada negara dan tidak dapat kelebihan sokongan sebagai pasukan tuan rumah. Pemain sentiasa kena kuatkan mental dan juga fizikal untuk hadapi tiga aksi terakhir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut memuji fasiliti penginapan dan venue latihan yang disediakan di Dubai, namun berharap barisan pemainnya dapat cepat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana, terutamanya dari aspek cuaca.

Sementara itu Liridon menyatakan rasa bertuahnya untuk bersama pasukan negara buat pertama kali sejak menjadi pemain naturalisasi pada Februari tahun lepas, kerana beliau mahu membantu pasukan negara menempah tempat pada pusingan akhir Piala Asia 2023.

Saya teruja untuk bersama rakan-rakan semula selepas beberapa bulan, latihan juga amat bagus, sehingga kini saya berasa baik dan rasa serasi dengan semuanya, itu yang paling penting,” katanya.

Walaupun beliau seorang pemain naturalisasi dan bermain di luar negara, Liridon tidak melihat perkara itu sebagai satu kelebihan untuk termasuk dalam senarai pemain pasukan.

Dari apa yang saya lihat dalam latihan kami mempunyai pasukan yang mampu bersaing, tiada yang terjamin tempatnya, terutamanya untuk diri saya, saya tidak mahu berfikir sedemikian. Setiap orang boleh menjadi pilihan utama dan tiada yang patut merasa dirinya terjamin,” katanya.

Skuad kebangsaan akan bertemu Kuwait di Dubai dan Bahrain di Manama, masing-masing pada 23 dan 28 Mei.

Malaysia akan menghadapi baki perlawanan kelayakan Kumpulan G mereka menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun). - BERNAMA.1

__________________________________________________

https://www.utusanborneo.com.my/2021/05/21/empat-pemain-lengkapkan-skuad-cheng-hoe-hadapi-misi-getir

No comments:

Post a Comment