Ad

Thursday 20 May 2021

Pasukan Liga-M sedia patuh SOP kekang COVID-19

Bernama

Mei 20, 2021 16:38 MYT



Pasukan Liga-M sedia patuh SOP kekang COVID-19

Baddrol berkata, pasukan tidak mempunyai halangan untuk menukar venue latihan bagi meneruskan sesi latihan secara fizikal, yang disifatkan penting menjelang saingan Piala AFC, bulan hadapan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sedia menjalani sesi latihan secara 'Camp Based Training' sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terbaharu, bagi mengekang penularan COVID-19 yang semakin serius ketika ini.

Ia susulan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setelah mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), serta Kementerian Kesihatan (KKM), yang memansuhkan kaedah 'Home Based Training' bagi pasukan berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC P. Maniam berkata sebaik keputusan itu dibuat, pihak pengurusan pasukan memberi jaminan akan mencari tempat penginapan buat pasukan, bersesuaian dengan konsep 'Camp Based Training' secara kuarantin.


Beliau berkata, perubahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan perancangannya yang tetap meneruskan sesi latihan berpasukan secara dalam talian, sambil menanti penempatan akan ditetapkan sekali gus dapat kembali berlatih di venue latihan.

"Jadi buat sementara ini, kami akan membuat latihan secara dalam talian bagi kekalkan kecergasan pemain, sebelum kita boleh lakukan latihan secara fizikal sepenuhnya," kata beliau dalam kenyataan MFL hari ini.

Sementara itu, Kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC Baddrol Bakhtiar berkata, pasukan tidak mempunyai halangan untuk menukar venue latihan bagi meneruskan sesi latihan secara fizikal, yang disifatkan beliau begitu penting menjelang saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), bulan hadapan.

Beliau berkata ia bukan kali pertama KDA FC terpaksa bertukar venue latihan, apabila pasukan pernah berlatih di Jitra selepas daerah Kota Setar dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) pada September, tahun lepas.

"Mungkin sekali lagi kami ke Jitra atau UUM (Universiti Utara Malaysia) di Sintok, namun semua keputusan di tangan pengurusan yang lebih tahu jalan terbaik," katanya.

Nada sama turut diluahkan Kapten Negeri Sembilan FC Zaquan Adha Abd Radzak, apabila mereka sebagai pasukan bersedia untuk memberi kerjasama terbaik dalam memastikan gelembung sukan tidak 'bocor'.

Beliau turut merasakan konsep 'Camp Based Training' sebagai langkah terbaik, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan ahli keluarga yang berada di rumah.

"Sebagai pemain, kita memang ingin terus beraksi, jadi SOP terbaik yang ada ini adalah untuk kebaikan semua pihak, agar liga akan terus berjalan dengan baik," katanya.

Semalam, MFL memutuskan pasukan Liga-M berada di kawasan PKP tidak lagi dibenarkan menjalani sesi latihan secara 'Home Based Training' atau konsep latihan tidak berpusat, dengan pergerakan hanya terhad antara rumah dan venue latihan.

Sebaliknya, kesemua pasukan berkenaan dikehendaki mematuhi konsep 'Camp Based Training'.

-- BERNAMA


#Liga-M#Liga Malaysia#SOP baharu#Camp Based Training#SOP#Home Based .1

_______________________________________

No comments:

Post a Comment