Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SKUAD negara berdepan Kuwait malam ini.
Kuala Lumpur: Pengendali negara, Tan Cheng Hoe akui dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait malam ini dan Bahrain pada Jumaat bukan semata-mata untuk menyediakan pemain menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun ini tetapi lebih daripada itu.
Katanya, di samping mahu pemain mencari semula persefahaman dan rentak yang hilang selepas hampir dua tahun tidak beraksi bersama, beliau juga harus memastikan dua aksi persahabatan itu tidak berakhir dengan kekalahan di mana ia boleh mengganggu motivasi anak didiknya.
Lantas, Cheng Hoe mahu barisan pemainnya mengambil kesempatan memperagakan aksi terbaik apabila diturunkan menentang Kuwait dan Bahrain walaupun ia hanya berstatus aksi persahabatan.
"Yang penting dua perlawanan ujian ini kita nak tengok dari segi tahap kecergasan dan kekuatan mental untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia ini.
"Sudah tentu mana-mana jurulatih pun mahu dapat keputusan positif di samping kita lihat pemain berada dalam satu tahap yang masih lagi perlukan perlawanan ujian untuk dapat keyakinan.
"Prestasi pemain belum lagi sampai tahap terbaik dan kita masih ada lagi beberapa latihan, dan juga taktikal kita harap kita boleh memberi harapan atau kita dapat gambaran sebenar sebelum kita menentang UAE nanti," katanya.
Pada kempen kelayakan, Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).
Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0).
Bagaimanapun jurulatih dari Kedah itu mengingatkan pemain supaya jangan terlalu ghairah kerana bimbang berisiko mengalami kecederaan pada dua aksi persahabatan itu.
"Tapi saya juga tak mahu pemain terlalu ghairah dalam perlawanan persahabatan ini sehingga tercedera, yang penting ikut arahan dan taktikal yang diberikan. Akhirnya kita pun tak nak pemain dapat kecederaan dan yang penting bebas kecederaan sebelum menentang UAE nanti," katanya.Disiarkan pada: Mei 23, 2021 @ 6:42pm.1
________________________________________________
No comments:
Post a Comment