10 Oktober 2016 12:33 AM
MOHD. RIZAL GHAZALI (kiri) menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam dalam persiapan menghadapi Afghanistan di Shah Alam, esok. UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
KUALA LUMPUR 9 Okt. – Biarpun hanya membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaysia dalam aksi persahabatan menentang Singapura, Jumaat lalu, namun Mohd. Rizal Ghazali mempamer aksi meyakinkan dan bersedia untuk mendapat kepercayaan kedua apabila bertemu Afghanistan, Selasa ini.
Bek kanan Kedah itu berjaya mengekang asakan Singapura dalam perlawanan yang berkesudahan 0-0, sekali gus memberi lebih banyak pilihan buat pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee untuk menjaga benteng ekoran kecederaan yang dialami beberapa tonggak utama.
Walaupun penampilan sulungnya mendapat pujian, namun pemain berusia 24 tahun itu mengakui, tahap permainannya masih perlu diperbaiki andai khidmatnya ditagih skuad kebangsaan dalam kejohanan lebih besar.
“Kali pertama diturunkan saya hanya beritahu diri sendiri supaya bermain seperti biasa dan tidak membiarkan pasukan lawan membolosi gawang negara.
“Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa memberi satu pengalaman berharga. Perlawanan peringkat liga dan antarabangsa memang berbeza dan peluang yang saya perolehi ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Selepas mengharungi dua aksi persahabatan, skuad kebangsaan masih tidak mampu mencatat kemenangan.
Mereka tewas 3-0 kepada Indonesia di Solo bulan lalu, sebelum diikat tanpa jaringan oleh Singapura.
Biarpun berjaya memastikan gawang tidak dibolosi ketika bertemu Singapura, namun persembahan yang dipamer Harimau Malaysia di Stadium Nasional agak membosankan.
Mereka lebih banyak bertahan, kurang kreatif di bahagian tengah dan gagal mencipta banyak peluang menjaringkan gol.
Pertemuan dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam, Selasa ini merupakan peluang terbaik buat anak-anak buah Kim Swee mengembalikan keyakinan penyokong.
Mengulas mengenai khidmatnya yang mungkin terus ditagih oleh jurulatih dalam perlawanan tersebut, Rizal mengakui, dia cukup bersedia untuk diturunkan.
“Semua pemain sudah pasti mahu dipilih untuk diturunkan begitu juga saya tetapi keputusan itu terpulang kepada jurulatih.
“Secara peribadi jika diturunkan saya akan memastikan aksi dipamerkan lebih baik berbanding ketika menentang Singapura tempoh hari.
“Jika kami semua dapat beri yang terbaik pasti akan mendapat keputusan yang bagus,” jelasnya.
Sumber-UTUSAN MALASIA ONLINE 10 Oktober 2016
No comments:
Post a Comment