IFWAT pamer peningkatan dalam permainan.
myMetro
Alor Setar: Sejauh mana Kedah mampu menamatkan penantian kejuaraan Piala Malaysia turut bergantung kepada ketangkasan penjaga gol muda Mohd Ifwat Akmal.
Kemuncak final di Stadium Shah Alam, Ahad ini bakal menjadi pentas terbesar dalam hidup pemain berusia 20 tahun itu sejak menyertai skuad senior Kedah tahun lalu.
Ketika skuad Helang Merah tewas 0-2 kepada Selangor pada final tahun lalu, Ifwat hanya memerhatikan Mohd Firdaus Mohamad beraksi dari luar padang dan siapa sangka, dalam tempoh setahun, dia kembali ke stadium yang sama sebagai sandaran utama pengendali Tan Cheng Hoe.
Bekas pemain skuad Piala Presiden Kedah itu mempamerkan peningkatan tahun ini dan kerap diturunkan Cheng Hoe berbanding dua lagi penjaga gol senior Abd Hadi Hamid dan Farhan Abu Bakar.
“Ini cabaran saya dan untuk beraksi di final, ia akan menjadi perlawanan besar dalam karier. Jika diberi peluang, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.
Ia bukan mengejutkan untuk Ifwat diturunkan pada final nanti biarpun kurang berpengalaman jika mengambil rekod tanpa bolos tiga daripada empat perlawanan terakhir Kedah dalam Piala Malaysia.
Jelasnya, dia banyak meminta nasihat daripada pemain senior untuk memperbaiki permainan.
“Saya kini bersaing merebut tempat dengan pemain senior yang juga idola saya Hadi. Dia dan pemain lain seperti Baddrol Bakhtiar dan Sabre Mat Abu banyak memberi nasihat untuk saya fokus dan kekal tenang di dalam padang,” kata Ifwat.
Menurutnya, aksi final pasti sukar kerana lawan mereka juara 33 kali Piala Malaysia iaitu Selangor memiliki beberapa pemain bahaya.
“Mereka mempunyai Patrick Ronaldinho, R Gopinathan dan Andik Vermansyah, jadi kami perlu berhati-hati,” jelas Ifwat.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 10:01 AM
No comments:
Post a Comment