Ad

Thursday, 6 October 2016

‘Masa untuk tebus kesalahan’

SUFIAN HADI SOJAK   06 Oktober 2016 12:40 AM
MOHD. FADHLI SHAS (dua dari kiri) memanaskan badan bersama rakan-rakannya
MOHD. FADHLI SHAS (dua dari kiri) memanaskan badan bersama rakan-rakannya ketika menjalani latihan di Wisma FAM, Petaling Jaya baru-baru ini untuk persediaan menentang Singapura. utusan/Suriya Bonma
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Umum sedia maklum, kesilapan individu daripada Mohd. Fadhli Shas antara penyumbang terhadap kekalahan 0-3 Harimau Malaysia di tangan Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Solo awal bulan lalu.
Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bagaimanapun masih tersenarai dalam 25 pemain yang akan dibawa jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee ke Singapura hari ini untuk menghadapi perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Jumaat ini.
Pemilihan pemain berusia 25 tahun itu juga menimbulkan lebih banyak persoalan kerana dia kerap memanaskan bangku simpanan dalam aksi Liga Malaysia musim ini.
Apa pun tohmahan yang dilemparkan kepadanya, Fadhli mengakui, dia tetap positif dan enggan melayani sebarang kritikan tersebut dalam usaha me­nebus kembali kekecewaan.
“Kalau diberikan peluang untuk bermain, saya akan membuktikan sesuatu dan fokus serta bekerjasama dengan rakan seperjuangan dengan baik.
“Saya kena kerja keras lagi sebab masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan tidak mahu mengulangi kesilapan,” katanya selepas menjalani latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini semalam.
Ketika ditanya adakah kehila­ngan rakan sekelab Aidil Zafuan Abdul Radzak yang tidak lagi menyarung jersi kebangsaan telah menimbulkan tekanan terhadap­nya, Fadhli berkata, situasi tersebut bukan satu masalah besar.
“Mungkin salah satu (tekanan) tetapi bagi saya ia bukanlah satu masalah besar. Kesemua pemain yang dipanggil jurulatih layak untuk bermain,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhli yang pernah dibimbing bekas jurulatih negara seperti Datuk K. Rajagobal dan Dollah Salleh memberitahu, kebanyakan rakan sepasukannya mengenali pemain Singapura dan tahu tentang corak permainan mereka.
“Yang pasti kami akan ke sana adalah untuk mendapatkan keputusan. Kami mahu menang,” tambahnya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-masa-untuk-tebus-kesalahan-8217-1.391134#sthash.Hzb3pkkC.dpuf

No comments:

Post a Comment