Pada hari ini dalam tahun 1981,
ibu pejabat RISDA yang terletak di Batu 4 ½, Jalan Ampang, Kuala Lumpur telah
dirasmikan pembukaannya oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Haji Ahmad Shah
Al-Musta’in Billah Ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam
Shah. Sebelum berpindah ke bangunan ibu pejabat ini, RISDA menyewa dua tingkat
Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang dan beberapa tempat yang berdekatan Jalan
Ampang. Tapak ibu pejabat RISDA ini telah dibeli pada 4 Oktober 1973 dengan
harga $2.4 juta. Ibu pejabat yang digunakan sepenuhnya pada tahun 1980 ini
menelan belanja pembinaan sebanyak $17.8 juta. Ia terdiri daripada bangunan setinggi 15 tingkat yang berhadapan
dengan Jalan Ampang dan setinggi 6 tingkat di belakangnya. Reka bentuk bangunan
ini dicipta berasaskan kegunaan dan ciri-ciri masyarakat pekebun kecil di 13
negeri di Malaysia, iaitu bentuk yang sama bagi setiap tingkat yang bermaksud
tanggungjawab RISDA kepada pekebun kecil adalah sama walaupun di mana mereka
berada; tunggak menara di tengah-tengah kedua-dua bangunan yang melambangkan
keteguhan getah dan skop yang penting dari segi kehidupan pekebun-pekebun kecil
dan keluarga mereka serta ekonomi negara dan tiga tiang di anjung bangunan yang
membawa maksud bahawa perusahaan getah adalah bergantung kepada tiga faktor,
iaitu pokoh getah yang sihat, tenaga manusia serta pemasaran dan perkilangan
yang memberi faedah kepada tenaga manusia tersebut.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment