FADHILUL
IZMEL ISHAK | 08 Oktober 2016 12:12 AM
PEMAIN Malaysia, Safawi Rasid dikasari oleh pemain Singapura, Faritz Hameed dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Singapura malam tadi yang berkesudahan seri 1-1. REUTERS
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Hasrat pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee untuk mencipta kemenangan ketika menentang Singapura tidak kesampaian selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura malam ini.
Berdasarkan corak permainan yang dipamerkan oleh pemain skuad kebangsaan, nampaknya Kim Swee perlu melakukan banyak kerja rumah untuk memperbaiki kelemahan terutamanya di bahagian tengah dan benteng pertahanan selain mempertajamkan jentera serangan pasukan.
Benteng pertahanan kiri Harimau Malaysia, yang dibarisi oleh ramai muka baharu dan muda, kerap dibolosi lawan sehingga membolehkan skuad bimbingan V. Sundram Moorthy melakukan percubaan merbahaya namun palang gol menjadi pemisah selain rembatan yang dilakukan oleh pemain Singapura gagal menemui sasaran.
Di bahagian tengah pula memperlihatkan pemain negara seperti hilang arah dan tidak banyak melakukan lorongan cantik ke bahagian serangan sekali gus tidak banyak percubaan merbahaya yang dapat dilakukan oleh mereka.
Bagaimanapun, selepas perlawanan memasuki babak kedua, di bahagian tengah dan benteng pertahanan Harimau Malaysia memperlihatkan sedikit kemajuan berbanding pada separuh masa pertama.
Apa yang pasti kemenangan sesuatu yang amat ditagih oleh penyokong setia skuad kebangsaan berikutan Harimau Malaysia baharu sahaja tewas 3-0 kepada Indonesia dalam aksi persahabatan pada 6 September lalu.
Dalam perlawanan tersebut, Singapura hampir menjaringkan gol menerusi percubaan merbahaya Faritz Hameed pada minit ke-14 namun penjaga gol Harimau Malaysia, Khairul Azhan Khalid berjaya menafikannya.
Singapura memiliki peluang terbaik untuk membolosi gawang Harimau Malaysia bagaimanapun percubaan Khairul Amri dan Hariss Harun dinafikan oleh palang gol.
Harimau Malaysia turut melakukan serangan terhadap kubu lawan dan mereka mempunyai peluang terbaik untuk membolosi gawang Singapura pada minit ke-76 menerusi rembatan Zaquan Adha Abdul Radzak namun berjaya ditepis oleh penjaga gol Hassan Sunny.
Biarpun gagal menembusi gawang lawan namun Kim Swee tetap memuji persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya selepas berjaya mengekalkan gawang pasukan daripada dibolosi oleh lawan selepas mempertaruhkan pemain baharu di bahagian pertahanan.
“Saya lihat pemain usaha bersungguh-sungguh walaupun corak perlawanan tidak begitu menjadi. Namun, pemain saya mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan gawang gol.
“Barisan pertahanan saya adalah pemain baharu. Jadi, untuk mereka tidak membolosi sebarang gol saya fikir satu keputusan yang bagus untuk kami. Saya tidak tahu selepas ini saya perlu melakukan sesuatu untuk mengasah pemain dan harap dapat kekalkan mereka sehingga Piala AFF
“Jika anda tanya saya sama ada saya gembira atau tidak...apa yang penting adalah mendapatkan keputusan. Saya lebih suka mendapatkan permainan cantik tapi jika tidak menang akan memberi malapetaka. Anda tidak main bagus tapi lakukan apa yang patut dan dapatkan keputusan positif itu sudah bagus,” kata Kim Swee selepas perlawanan.
Malaysia akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang Afghanistan
di Shah Alam pada
11 Oktober ini.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA online 8.10.2016
No comments:
Post a Comment