Ad

Monday, 10 October 2016

Rizal akui cabaran sengit kekal tempat

 
myMetro
Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan kanan Kedah, Rizal Ghazali yang kini bersama skuad Harimau Malaysia mengakui sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama berikutan komitmen tinggi daripada setiap pemain dalam kem latihan negara ketika ini.

Menurutnya, biarpun berjaya melaksanakan tugas yang diamanahkan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee dengan sebaik mungkin ketika menentang Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa Jumaat lalu belum cukup untuknya disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Baginya, penampilan pertama di peringkat tertinggi itu tidak menjamin tempatnya untuk aksi persahabatan kedua bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam malam esok, sebaliknya dia perlu meningkatkan lagi prestasi semasa.

“Tahap keyakinan saya 50-50 untuk dikekalkan sebab di sini (latihan pusat kebangsaan) ramai pemain yang juga terbaik.

“Bagi saya, kehadiran pemain lain sebagai satu cabaran yang positif untuk saya bersaing secara sihat dalam pasukan. Ia satu petanda baik untuk pasukan.

“Apapun, saya sudah bersedia untuk menentang Afghanistan dan kalau saya diturunkan nanti, saya akan ikut taktikal jurulatih dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Sementara itu, Kim Swee turut memuji aksi cemerlang Rizal yang disifatkannya begitu sempurna daripada seorang pemain yang baru pertama kali merasai bahang saingan antarabangsa.

“Sejujurnya semua pemain mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan Singapura.

“Sudah pastinya pemain seperti Rizal yang pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa bermain dengan cemerlang, walaupun pada 10-15 minit awal dia nampak agak gugup.

“Namun selepas itu dia berjaya menyerap tekanan itu dengan pantas dan itu petanda yang baik buat pasukan menjelang saingan Piala AFF bulan depan,” kata Kim Swee.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 10:49 AM

No comments:

Post a Comment