Ad

Friday 14 October 2016

Optimis benteng kukuh

 
IMPORT Kedah Krasniqi (kiri) giat berlatih bagi menghadapi PDRM.
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe optimis pasukan itu mampu mengekalkan keampuhan benteng pada aksi separuh akhir kedua menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini, sekalipun bakal turun tanpa dua tonggak pertahanan Ariff Farhan Mohd Isa dan kapten Khairul Helmi Johari yang mengalami kecederaan.

Ariff Farhan mengalami kecederaan lutut sewaktu separuh akhir pertama kedua-dua pasukan di Stadium Darulaman pada 30 September lalu, terpaksa melupakan baki aksi musim ini.


Khairul Helmi pula mengalami kecederaan sewaktu aksi persahabatan Malaysia menentang Singapura pada 7 Oktober lalu dan kini masih menjalani rawatan.

Menurut Cheng Hoe, beliau sudah mempunyai pengganti bagi dua pemain berkenaan dan masing-masing mampu menggalas tugas penting dalam perlawanan bertemu PDRM.

“Saya yakin kemampuan pemain yang akan menggantikan mereka dan sebagai jurulatih saya akan pastikan pemain gantian dapat berganding baik dengan pemain import Bang Seung Hwan nanti.

“Bang yang sudah pulih daripada kecederaan pada perlawanan separuh akhir pertama lalu, sudah menjalani latihan bersama pasukan dan ini memberi harapan untuk kita dalam perancangan taktikal nanti.

“Namun, saya juga sedang menunggu perkembangan dan keputusan terkini mengenai tahap kecergasan Khairul selepas beliau pulang dari menyertai skuad kebangsaan,” katanya.

Beliau juga yakin persiapan dan latihan jentera serangan skuad Helang Merah yang dibarisi trio import Liridon Krasniqi, Shane Edward Smeltz dan Thiago Augusto berjalan dengan lancar dan baik.

“Kita mempunyai barisan anak muda yang boleh beraksi dengan baik dengan pemain berpengalaman dalam pasukan dan berharap mereka sentiasa akan melaksanakan tugas seperti dirancang.

“Saya berharap dengan penggantian pemain yang dilakukan ini, kita mampu menampilkan kesebelasan utama yang terbaik sekali gus mampu membawa cabaran ke peringkat final,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 11:10 AM


No comments:

Post a Comment