Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my
MAT Yo (kanan) bersama Fadhli Shas (kiri) dan Zaquan Adha Abd Radzak (tengah) ketika menjalani latihan di Wisma FAM, semalam. - Foto Saifullizan Tamadi
KELANA JAYA: Penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha bakal mendapatkan kembali sentuhan berbisanya selepas barisan kejurulatihan skuad kebangsaan serius mengadakan program khas buat pemain Terengganu itu.
Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan Norshahrul atau Mat Yo giat menjalani latihan bersama jurulatih kecergasan, Reuben Jude Balraj dalam usaha meningkatkan kecergasannya pada tahap tertinggi.
"Mat Yo menjalani latihan khas sebelah pagi dan selalu melakukan latihan tambahan bersama Reuben. "Sudah tentu Mat Yo perlu banyak masa, sama ada bermain atau tidak di Singapura (Jumaat ini), yang penting dia dapat kembalikan kecergasan dan mempertajamkan semula sentuhannya.
"Dia menunjukkan kesungguhan yang tinggi. Bukan saja dia, tapi kesemua pemain yang dipanggil memberi komitmen yang cukup baik ketika latihan," kata Kim Swee kepada pemberita pada sesi latihan, hari ini.
Sentuhan Mat Yo sebelum ini sangat digeruni lawan terutama ketika digandingkan bersama Safee Sali yang menyaksikan Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010. Selepas beberapa kali terlepas dari panggilan skuad kebangsaan, Kim Swee bagaimanapun bertekad menyenaraikan pemain berusia 30 tahun itu untuk perlawanan persahabatan dengan Singapura dan Afghanistan (Selasa ini) biarpun sedar kecergasannya belum berada pada tahap terbaik.
Kim Swee hanya akan membawa 25 daripada 30 pemain ke Singapura dan mengakui masih belum mempunyai bayangan penuh barisan kesebelasan utama untuk perlawanan persahabatan itu nanti.
"Hanya semalam kita baru mendapat satu sesi latihan dengan semua pemain melaporkan diri dan saya mencuba beberapa kombinasi. "Hari ini saya akan cuba lagi, termasuk esok apabila berlatih di Singapura dan saya akan menamakan kesebelasan terbaik sebelum perlawanan dengan Singapura nanti," katanya.
SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198900
No comments:
Post a Comment