DARREN
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu tindakan memanggil pulang tiga pemain Johor DT II iaitu Zaquan Adha Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok dari kem latihan skuad kebangsaan tidak disensasikan.
Malah Tunku Ismail juga menyuarakan kekecewaan terhadap beberapa agensi media sukan di negara ini yang sering memaparkan isu negatif mengenai JDT selama berminggu-minggu dan tidak melaporkan perkara positif berhubung pembangunan bola sepak yang dilaksanakan oleh kelab itu.
“Hanya media asing membuat liputan cerita mengenai projek positif yang sedang dilaksanakan sedangkan mereka yang tidak berpuas hati dengan kami tidak ambil peduli langsung untuk menceritakan kebaikan. Kami di Johor sudah biasa dengan layanan seperti itu. Tiada masalah.
“Mengenai pemain JDT II kami, saya mengarahkan mereka untuk pulang kerana pemain muda ini adalah aset kelab kami. Kami yang membayar gaji mereka dan kami akan melakukan apa saja untuk mengawal keselamatan aset kami ini dan menjaga kepentingan kami dengan sepenuh hati. Malah ketiga-tiga pemain itu akan melaporkan diri hari ini (semalam),” kata Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers.
Tunku Ismail juga menjelaskan mengenai status dua pemain importnya, Baihakki Khaizan dan Shahril Ishak yang menjalani latihan bersama skuad Singapura untuk persiapan menentang skuad Harimau Malaysia pada 7 Oktober ini memandangkan kedua-dua pemain itu adalah pemain senior JDT II.
Katanya, Baihakki dan Shahril diberi pelepasan awal untuk menyertai latihan skuad Singapura di bawah kendalian V Sundramoorthy kerana mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada projek JDT II untuk masa akan datang.
“Mengenai Hariss Harun, saya berpeluang bercakap dengan Sundramoorthy dan memaklumkan kepadanya pemain tengah JDT itu akan melaporkan diri pada hari ini (semalam) dan dia memberitahu kepada saya tidak menjadi masalah.
“Amat menyedihkan untuk mengatakan saya mempunyai hubungan lebih baik dengan badan induk bola sepak dan kelab dari seluruh dunia berbanding negara saya sendiri. Saya tertanya-tanya mengapa? Saya akan biarkan untuk anda renungkan. Jadi ini adalah kenyataan dari saya,” tegas Tunku Ismail.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:34 AM
No comments:
Post a Comment