Ad

Tuesday, 4 October 2016

Kim Swee lega skuad lengkap



ONG Kim Swee
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: Seperti dijanjikan, enam pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Johor DT II hadir melaporkan diri dan memulakan latihan skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee semalam.

Kehadiran kapten Amri Yahyah, Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari Johor DT serta tiga pemain Johor DT II Darren Lok, Zaquan Adha Radzak dan Irfan Fazail melengkapkan senarai 30 pelatih Harimau Malaysia.


Kontroversi timbul sebelum ini apabila tiga pemain Johor DT II hanya sempat berlatih sehari pada Selasa lalu sebelum dipanggil pulang oleh pengurusan kelab atas alasan mereka hanya dilepaskan empat hari sebelum perlawanan berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Tiga pemain Johor DT yang sepatutnya melaporkan diri kelmarin selepas selesai perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC Rabu lalu turut hanya diarahkan oleh majikannya untuk tiba semalam.

Situasi itu melegakan Kim Swee yang hanya mempunyai masa tiga hari untuk melakukan latihan penuh sebelum menghadapi aksi persahabatan antarabangsa dengan Singapura di Stadium Nasional, Singapura Jumaat ini.

“Bukan saja enam pemain Johor DT tapi semua pemain yang dikehendaki melaporkan diri sudah melaporkan diri jadi kita sudah mempunyai pasukan lengkap, saya harap bermula hari ini (semalam) kita akan bertambah fokus sebelum bermain dengan Singapura nanti.

“Sudah tentu fokus saya dari segi percaturan taktikal kerana hanya tiga hari saja kita dapat lakukan latihan dan saya harap pemain ambil kesempatan ini sebaik mungkin kerana saya akan memilih 11 pemain kesebelasan utama pada sesi latihan ini,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan semalam.

Kim Swee memanggil pemain bagi sesi latihan pusat secara berperingkat bermula Selasa lalu berikutan ada pemain terikat aksi Piala AFC dan Piala Malaysia.

Arena Metro sebelum ini melaporkan dua pemain Johor DT Shahril Ishak dan Baihakki Khaizan sudah berlatih dengan skuad kebangsaan Singapura Sabtu lalu manakala Hariss Harun dari Johor DT kelihatan bersama pasukan jiran itu kelmarin.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:26 AM

No comments:

Post a Comment