Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
1.0 PENGENALAN
Akhbar-akhbar Melayu yang diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan satu sumber sejarah kerana setiap satunya merakam peristiwa sejarah semasa masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim, “Akhbar memang biasa digunakan sebagai sumber sejarah; tetapi tidak ramai sebenarnya yang banyak bergantung kepada akhbar Melayu untuk menulis sejarah masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar Melayu, sepanjang abad ke-20, melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1] Bagi Roff pula, “…untuk seorang ahli sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama itu merupakan suatu alat perakaman yang amat mustahak dan berguna. Mustahak, bukan saja kerana pada halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, tetapi adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan menjelaskan fikiran dan perasaan orang-orang yang hidup ketika itu.”[2] Manakala menurut Ahmat Adam, akhbar amat penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap pihak berkuasa atau pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang melibatkan kepentingan umum.[3]
Seterusnya, makalah yang terkandung di dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa sejarah sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang menyiarkan makalah riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal Pegawai Yang Mengambil Akan Singapura.” [4] Pengasuh pula menyiarkan rencana yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam.”[5] Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat menyumbang kepada timbunan sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman tersebut asalnya bukanlah sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun makalah yang terdapat di dalam akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah supaya objektif kebenaran sejarah adalah sah.
Unsur historiografi atau pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar Melayu kuat dipengaruhi oleh pendirian individu, pengaruh zamannya, dasar kerajaan pada zaman penjajahan British yang menyekat kebebasan akhbar dan organisasi,[6] atau pengarang yang membuat penilaian moral dan komen mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.
[6]Undang-undang hasutan diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat di bawah Ordinan No.11,1915 apabila dunia antarabangsa sedang mengalami peperangan. Pihak berkuasa kolonial di Malaya semakin berhati-hati tentang sentimen anti-British. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,kawalan penerbitan yang mengendungi unsure hasutan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi di bawah Public Emergency Enactment 1917. Untuk keterangan lanjut lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, KualaLumpur, 1998, hlm.253-266.
No comments:
Post a Comment