Ad

Sunday, 2 October 2016

Lawan Afghanistan relevan

Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2016
Lawan Afghanistan relevan    
 Lawan Afghanistan relevan
Kim Swee menyifatkan pertemuan menentang Afghanistan penting untuk perbaiki ranking Malaysia.

“BUKAN semua tempat di Afghanistan berperang. Mereka masih lagi bersukan,” kata bekas pemain negara, Khalid Ali yang membidas persepsi negatif sesetengah peminat bola sepak yang beranggapan skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee hanya membuang masa apabila bertemu pasukan itu dalam aksi persahabatan antarabangsa kelas A, 11 Oktober nanti.

Khalid antara peneraju penting kemaraan Malaysia secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 menganggap, pertemuan dengan negara bergolak itu masih lagi relevan.

Menurutnya, kedudukan ranking Afghanistan di tangga ke-149 dunia dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membuktikan pasukan itu memiliki kualiti lebih baik sedikit berbanding Malaysia (158 dunia).

“Orang ramai kena faham, bukannya semua tempat di Afghanistan kucar-kacir. Lagipun, kalau mereka setuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan, apa salahnya kita terima?

“Perlawanan persahabatan sebeginilah penting untuk pasukan kebangsaan kerana dapat membantu dalam memantapkan lagi pasukan menjelang Piala AFF nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut menyifatkan perlawanan persahabatan yang dirangka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sangat penting untuk menentukan hala tuju bola sepak negara.

“Kena faham, perlawanan persahabatan bukan hanya untuk mengejar ranking. Kalau menang sekalipun kita hanya akan naik satu atau dua tangga.

“Apa yang kita nak tahu daripada perlawanan persahabatan ini ialah bagaimana FAM ingin programkan sukan bola sepak kita dalam jangka masa tiga ke lima tahun akan datang.

“Selain itu, perlawanan ini juga penting untuk mengetahui sejauh mana pemain-pemain kita sudah bersedia untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

“Adakah mereka sudah cukup yakin? Atau adakah mereka gah di Liga Malaysia sahaja?," katanya lagi.

Tambah Khalid, adalah penting buat masa ini untuk lebih ramai orang yang berkemampuan tampil membantu dalam memberi idea untuk menaikkan bola sepak Malaysia agar imej pasukan kebangsaan tidak akan terus tercalar.
SUMBER-SINAR HARIAN 1 OKTOBER 2016

No comments:

Post a Comment