Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Skuad Harimau Malaysia mempamerkan peningkatan namun belum cukup untuk menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam empat perlawanan sejak Jun lalu apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang Afghanistan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam malam tadi.
Bagaimanapun, keputusan itu bukan mudah dicapai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila terpaksa bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Muhammad Hadin Azman selepas ketinggalan menerusi jaringan Noarollah Amiri pada babak pertama permainan.
Selepas dikritik hebat susulan keputusan seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Nasional minggu lalu, Kim Swee membuat percaturan berani dengan hanya mengekalkan tiga pemain yang diturunkan di Seberang Tambak dalam kesebelasan utama kali ini.
Khairul Fahmi Che Mat kembali mengambil posisi penjaga gol daripada Khairulazhan Khalid dengan dua pemain Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Mohd Syazwan Zainon tampil buat kali pertama di pentas antarabangsa.
Afghanistan yang dikendalikan jurulatih kelahiran Croatia Petar Segrt lebih awal mendapat rentak dengan mengatur serangan menerusi percubaan pertama kapten Faysal Shayesteh pada minit ke-9 namun berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.
Situasi kelam kabut dalam kotak penalti selepas sepakan sudut menjadi punca gol pertama pasukan pelawat apabila pemain tengah Noarollah mengambil kesempatan itu menerusi rembatan kencang menerjah gawang pada minit ke-21.
Kemasukan Hadin bagi menggantikan Syazwan yang mengalami kecederaan pada minit ke-19 membuahkan hasil apabila pemain sayap FELDA United itu menanduk masuk gol penyamaan selepas mendapat hantaran lintang Matthew Davies sebelum tamat babak pertama.
Kim Swee yang kini sedang mempersiapkan pasukan bagi mengharungi Piala AFF di Yangon, Myanmar bulan depan membuat beberapa pertukaran pemain pada separuh masa kedua termasuk menurunkan pertahanan kiri Ahmad Khuzaimi Piee untuk cap pertama antarabangsanya.
Harimau Malaysia mempamer permainan lebih baik apabila berani mengatur gerakan ke kawasan Afghanistan dan hampir berjaya menambah gol namun sepakan lemah kapten Baddrol Baktiar dinafikan penjaga gol Ovays Azizi pada minit ke-79.
Skuad negara akan mengadakan ujian terakhir menentang Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan bulan depan sebelum memulakan kempen Piala AFF Kumpulan B membabitkan tuan rumah Myanmar, Vietnam dan satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:31 AM
No comments:
Post a Comment