Ad

Saturday, 29 October 2016

Kedah tidak mahu berputih mata

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
CHENG HOE (dua dari kanan) mahu para pemain memberikan komitmen 100 peratus dalam misi Kedah menewaskan Selangor pada aksi final di Shah Alam malam ini.

JURULATIH Kedah, Tan Cheng Hoe seolah-olah memberi bayangan bahawa skuad kendaliannya tidak rela lagi dikecewakan oleh Selangor pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Cheng Hoe menegaskan, menjulang Piala Malaysia menjadi satu kepuasan tidak terkata apabila bekas pembantu jurulatih Harimau Malaysia itu mengakui skuad Helang Merah terdesak untuk memenangi piala paling berprestij dalam Liga Malaysia (Liga M).

Musim lalu, Kedah layak ke final tetapi kecundang 0-2 kepada skuad Gergasi Merah menerusi dua gol Ahmad Hazwan Bakri, sekali gus menyaksikan Selangor muncul pasukan Liga M paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan memegang status juara sebanyak 33 kali.

Tahun ini, Cheng Hoe yang mengharapkan hujan lebat tidak berlaku pada aksi malam ini seperti tahun lalu mengakibatkan persembahan pasukannya sedikit terencat sebelum tewas kepada Selangor, memberikan bayangan bahawa pasukan bimbingannya sudah bersedia untuk melakarkan kejutan terhadap juara bertahan itu.

“Mana-mana pasukan di Malaysia ingin bermain di final kerana Piala Malaysia begitu berprestij di negara ini.

“Tahun lepas (dalam aksi final Piala Malaysia) hujan lebat dan mungkin banyak menjejaskan corak permainan kita tetapi itu bukan alasan. Saya berharap cuaca hari ini (semalam) tidak hujan, jadi pemain-pemain sudah bersedia bermain di Shah Alam.

“Sepanjang seminggu latihan, saya nampak para pemain menikmati motivasi tinggi dan diharapkan mereka dapat memberikan komitmen 100 peratus kepada perlawanan (menentang Selangor) nanti.

“Saya juga harap pemain-pemain dapat memberikan lebih baik berbanding aksi sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe menggambarkan pertemuan final Piala Malaysia dengan Selangor bukanlah ‘aksi membalas dendam’ sebaliknya menyifatkan perlawanan ‘ulangan’ final apabila Kedah yang muncul juara sebanyak empat kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1921, bakal turun dengan keyakinan tinggi menentang skuad kendalian K. Gunalan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4OWgWHsJO Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment