Impian menggunung K. Gunalan
Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
GUNALAN (kanan) optimis para pemainnya mampu merealisasi impian Selangor untuk merangkul Piala Malaysia buat kali ke-34 pada final menentang Kedah di Stadium Shah Alam malam ini.
KEJAYAAN menjulang trofi sebagai jurulatih lebih manis berbanding ketika menjadi pemain.”
Demikian ujar pengendali Selangor, K. Gunalan yang meletakkan harapan tinggi kepada anak-anak buahnya supaya impian untuk meraih Piala Malaysia sebagai ketua jurulatih terlaksana pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam malam ini.
Sebagai rekod, bekas pemain kebangsaan itu adalah watak penting dalam skuad Gergasi Merah yang berjaya mencipta gelaran ‘hatrik’ Piala Malaysia pada edisi 1995 hingga 1997.
Sehubungan itu, Gunalan yang mengambil alih posisi yang ditinggalkan oleh pengendali asal Selangor musim ini, Zainal Abidin Hassan yang dipecat pada Ogos lepas, percaya barisan pemain mampu merealisasikan hasratnya untuk mendakap trofi bersejarah itu sebagai jurulatih buat pertama kali.
“Saya pernah memenangi piala ini sebanyak tiga kali sebagai pemain dan sekali sebagai jurulatih. Secara jujur, perasaan untuk membawa pasukan ke pentas akhir bukan mudah kerana ia ada cabarannya tersendiri.
“Namun, saya akui akan lebih puas sekiranya saya dapat memenangi trofi ini sekali lagi ketika bergelar jurulatih. Ini adalah peluang saya dan pemain untuk mencatat nama dalam sejarah pasukan Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.
Mengulas lanjut, Gunalan turut mendedahkan kemungkinan besar formula atau kesebelasan utama yang sama bakal digunakan pada pertemuan menentang skuad Helang Merah tetapi segalanya bergantung kepada kecergasan pemain.
“Saya gembira kerana semua pemain telah kembali pulih daripada kecederaan dan membuatkan kami lebih banyak pilihan. Bagaimanapun, saya boleh mengesahkan bahawa barisan pertahanan Selangor akan kekal diterajui oleh Ugo Ukah dan Rizal Fahmi Abdul Rosid kerana mereka beraksi dengan cemerlang pada kempen sebelum ini.
“Susulan itu, khidmat ketua pasukan, Shahrom Kalam terpaksa diletakkan di bangku simpanan dan lilitan kapten bakal diserahkan sekali lagi kepada bintang import kami, Andik Vermansyah.
“Mengenai taktikal perlawanan, saya inginkan pemain supaya beraksi lebih tenang selain mahu mereka memburu gol awal untuk mengelakkan pasukan bermain dalam keadaan tertekan. “Bagaimanapun, harapan utama adalah untuk menghabiskan permainan dalam tempoh 90 minit tetapi saya turut memastikan pemain telah bersedia mengenai kemungkinan saingan diheret ke penentuan penalti,” ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4OZ0WgLCX Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment