Impian menggunung K. Gunalan
Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
GUNALAN (kanan) optimis para
pemainnya mampu merealisasi impian Selangor untuk merangkul Piala Malaysia buat
kali ke-34 pada final menentang Kedah di Stadium Shah Alam malam ini.
KEJAYAAN menjulang trofi
sebagai jurulatih lebih manis berbanding ketika menjadi pemain.”
Demikian ujar pengendali
Selangor, K. Gunalan yang meletakkan harapan tinggi kepada anak-anak buahnya
supaya impian untuk meraih Piala Malaysia sebagai ketua jurulatih terlaksana
pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam malam
ini.
Sebagai rekod, bekas pemain
kebangsaan itu adalah watak penting dalam skuad Gergasi Merah yang berjaya
mencipta gelaran ‘hatrik’ Piala Malaysia pada edisi 1995 hingga 1997.
Sehubungan itu, Gunalan yang
mengambil alih posisi yang ditinggalkan oleh pengendali asal Selangor musim
ini, Zainal Abidin Hassan yang dipecat pada Ogos lepas, percaya barisan pemain
mampu merealisasikan hasratnya untuk mendakap trofi bersejarah itu sebagai
jurulatih buat pertama kali.
“Saya pernah memenangi piala
ini sebanyak tiga kali sebagai pemain dan sekali sebagai jurulatih. Secara
jujur, perasaan untuk membawa pasukan ke pentas akhir bukan mudah kerana ia
ada cabarannya tersendiri.
“Namun, saya akui akan lebih
puas sekiranya saya dapat memenangi trofi ini sekali lagi ketika bergelar
jurulatih. Ini adalah peluang saya dan pemain untuk mencatat nama dalam
sejarah pasukan Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.
Mengulas lanjut, Gunalan turut
mendedahkan kemungkinan besar formula atau kesebelasan utama yang sama bakal
digunakan pada pertemuan menentang skuad Helang Merah tetapi segalanya
bergantung kepada kecergasan pemain.
“Saya gembira kerana semua
pemain telah kembali pulih daripada kecederaan dan membuatkan kami lebih banyak
pilihan. Bagaimanapun, saya boleh mengesahkan bahawa barisan pertahanan
Selangor akan kekal diterajui oleh Ugo Ukah dan Rizal Fahmi Abdul Rosid kerana
mereka beraksi dengan cemerlang pada kempen sebelum ini.
“Susulan itu, khidmat ketua
pasukan, Shahrom Kalam terpaksa diletakkan di bangku simpanan dan lilitan
kapten bakal diserahkan sekali lagi kepada bintang import kami, Andik
Vermansyah.
“Mengenai taktikal perlawanan,
saya inginkan pemain supaya beraksi lebih tenang selain mahu mereka memburu gol
awal untuk mengelakkan pasukan bermain dalam keadaan tertekan. “Bagaimanapun,
harapan utama adalah untuk menghabiskan permainan dalam tempoh 90 minit tetapi
saya turut memastikan pemain telah bersedia mengenai kemungkinan saingan
diheret ke penentuan penalti,” ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4OZ0WgLCX
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment