Ad

Saturday, 19 September 2020

The Fighters tanpa Khairul Amri

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Felda United kemungkinan tidak dapat menyenaraikan penyerang import, Khairul Amri Mohammad Kamal apabila skuad itu berdepan Pahang, Ahad ini.

Pengendali The Fighters Mohd Nidzam Jamil berkata, segala-gala belum pasti kerana pemain Singapura itu masih belum pulih daripada kecederaan.

"Sudah pasti pasukan amat memerlukan khidmat Khairul Amri untuk menambah kekuatan di bahagian serangan terutama menjelang pertemuan dengan Pahang.

"Setakat ini, saya lihat Khairul Amri belum pulih sepenuhnya dan hanya menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan

"Tanpa Khairul Amri memang memberi kesan terhadap prestasi pasukan dan ia dapat disaksikan ketika kami tewas 1-2 kepada Kedah minggu lalu.

"Khairul Amri mengalami kecederaan pada saat-saat akhir ketika latihan dan tanpanya di bahagian serangan, ia memberi impak terhadap pasukan," katanya.

Namun, Mohd Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan tidak mahu ketiadaan Khairul Amri dijadikan alasan untuk tidak beraksi lebih baik.

Katanya, ini kerana pasukan itu kini perlu mengutip mata maksimum untuk memastikan Felda United kekal berada di Liga Super musim depan.

"Berada di kedudukan kesembilan liga dengan mengutip enam mata dan baki empat perlawanan, kami tidak boleh terlepas sebarang mata.

"Oleh itu misi utama pasukan untuk mendapatkan kemenangan," katanya.

Selepas tujuh perlawanan, The Fighters yang sekadar mengutip enam mata apabila merekodkan satu kemenangan dan tiga seri berada di kedudukan kesembilan liga.

Kedudukan itu dianggap tidak selamat kerana turut berkongsi enam mata dengan PJ City dan Sabah, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) negatif satu mata.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 1:17 PM

No comments:

Post a Comment