Ad

Tuesday, 15 September 2020

Zahasmi jurulatih pertama direhatkan

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

APA sudah jadi dengan Kelantan United Football Club (KUFC)? Daripada sebuah pasukan pencabar kejuaraan Liga Perdana awal musim ini, kelab itu bagaimanapun terus merekodkan kekalahan demi kekalahan hingga menyaksikan pengendalinya, Zahasmi Ismail direhatkan pengurusan pasukan sekali gus muncul jurulatih pertama musim ini yang direhatkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Tiga kekalahan berturut-turut sejak saingan liga bersambung kini menyaksikan KUFC jatuh lima anak tangga di kedudukan ketujuh berbanding di posisi kedua sebelum Liga M ditunda Mac lalu.

Difahamkan kemerosotan mendadak pasukan dikaitkan dengan isu tunggakan gaji dua bulan setengah sebagai punca kepada masalah dalaman pasukan itu.

Dikhabarkan, barisan pemain dan pegawai Kelantan United sudah mengalami tunggakan gaji sejak Jun namun baru-baru ini pengurusan pasukan baru menjelaskan 50% gaji bulan Jun untuk meninggalkan tunggakan sebanyak dua bulan setengah.

Begitupun ketika Arena Metro mendapatkan Zahasmi, beliau tidak mengiyakan atau menidakkan isu tunggakan gaji adalah punca masalah sebaliknya meminta peminat menilainya sendiri dengan membandingkan prestasi pasukan ketika Mac lalu dan sekarang.

"Saya tak mahu gaduh-gaduh atau nak salahkan sesiapa. Kalau kata masalah gaji pasukan lain pun ada masalah itu, tapi peminat boleh tengok sendiri.

"Sebelum Covid-19 (sebelum penangguhan Liga M) pada Mac, kami di tempat kedua tetapi bila liga sambung hujung Ogos lalu) kami kalah tiga perlawanan.

"Kami kalah pun bukan sebab kami tak bagus. Kami kalah pun 3-2 kepada JDT II...kalah melawan. Lepas itu kami kalah 2-0 kepada Kuala Lumpur, itu juga gol minit akhir.

"Lepas itu dengan UKM FC pun kami kalah 1-0. Bukan nak kata masalah gaji saja, mungkin kena tengok juga persiapan pasukan, padang latihan dan lain-lain," katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan KUFC hari ini , pengurusan kelab memutuskan merehatkan Zahasmi dan dua pembantu jurulatih iaitu Sazami Shafii serta Zahariman Ghazali berkuatkuasa serta merta.

KUFC dalam mesyuarat khas di Kota Bharu mengambil maklum bahawa Zahasmi tidak turun menjalankan tugasnya melatih pasukan sebagai persediaan pertemuan Liga Perdana minggu ini menentang Sarawak United di Kuching, Jumaat ini.

Keputusan drastik itu terpaksa diambil setelah perbincangan menyeluruh dari pihak kelab kerana melihat situasi semasa pasukan yang memerlukan jurulatih bagi menghadapi baki empat perlawanan Liga Perdana dalam masa terdekat.

"Saya terima keputusan kelab dengan hati terbuka. Tidak ada masalah dan saya kena akur dengan pengurusan. Kalau mereka suruh rehat saya rehat, kalau suruh main saya main," kata Zahasmi yang cemerlang membawa KUFC muncul juara Liga M3 dan layak ke Liga Perdana musim ini.

Dengan ketiadaan Zahasmi, KUFC kini sedang mencari jurulatih sementara bagi mengisi kekosongan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 2:11 PM

No comments:

Post a Comment