Ad

Wednesday 14 October 2020

Asal Usul Kuala Kubu Bharu, Selangor

By Freddie Aziz Jasbindar -2 April 2019



ShareFacebookTwitterTelegram

Sejak awal abad ke 18 lagi Kuala Kubu asalnya dikenali dengan nama Hulu Selangor dan telah menjadi satu kawasan yang amat penting untuk aktiviti perlombongan bijih timah.

Orang-orang melayu tempatan disana mula memikirkan satu cara yang paling mudah untuk mendapatkan bijih timah lantas mereka telah memutuskan untuk membina sebuah empangan untuk merentasi Sungai Kubu pada sekitar tahun 1780.

Bayangkan pada waktu itu tanpa bantuan teknologi moden seperti hari ini, orang-orang melayu dengan bantuan orang asli berjaya membina empangan kukuh yang sepanjang 1.6 kilometer dan mempunyai lebar 90 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah.

Apabila empangan mula penuh, air yang melimpah telah disalurkan untuk menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih akan tercampak ke dalam arus deras ini.

Konsepnya adalah lumpur dan tanah akan hanyut dibawa arus deras manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali kemudian hari.

Perang saudara di Selangor juga turut menyaksikan kawasan Kuala Kubu menjadi kawasan pertahanan dan kubu kuat buat Sayyid Masyhor yang merupakan sekutu kepada Raja Mahadi.

Sayyid Masyhor dikatakan telah berjaya mengumpulkan seramai 2,500 orang angkatan perang dan pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Sayyid Masyhor tetapi gagal.

Ada teori yang menyatakan bahawa dari kubu-kubu yang dibina oleh Sayyid Masyhor inilah Kuala Kubu mendapat namanya. Sayyid Masyhor hanya dapat dikalahkan oleh pasukan perang dari Pahang yang diminta oleh Tengku Kudin untuk menyerang Kuala Kubu.

Akhirnya Sayyid Masyhor berundur dan mendapat perlindungan di Istana Perak. Maka selepas kekalahan Sayyid masyhor yang berlaku sekitar awal dalam tahun 1870, Kuala Kubu atau Hulu Selangor telah menjadi jajahan bawah pentadbiran Pahang.

Tengku Kudin telah menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang dan untuk membayar perbelanjaan perang yang telah dikeluarkan dahulu oleh Pahang.

Beberapa tahun selepas Inggeris menjadi penjajah selangor, Kuala Kubu mendapat perhatian mereka kerana kekayaan hasilnya. Sebab itulah mereka menghantar Cecil Ranking sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor.

Cecil Ranking melihat bahawa terdapat potensi besar yang ada di Kuala Kubu dan tanpa berlengah lagi, beliau telah mengesyorkan pihak Inggeris supaya membina bandar baru yang lebih tersusun di Kuala Kubu untuk memaksimakan potensi ekonominya.

Sebelum sempat melihat Kuala Kubu jadi bandar, empangan yang sudah berusia lebih 100 tahun itu pecah melimpah dan Cecil Ranking telah mati lemas dalam bencana banjir besar yang melanda.

Tragedi ampang pecah itu tidak melemahan semangat Inggeris untuk membangunkan bandar Kuala Kubu. Mereka telah menjadikan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Hulu Selangor lengkap dengan pejabat daerah, hospital dan rumah-rumah pegawai.

Kuala Kubu pernah menjadi pintu masuk utama untuk ke negeri Pahang apabila jalan bridle path ke Raub telah siap diperbaiki. Sewaktu terjadinya pemberontakan pahang, Kuala Kubu menjadi pintu utama untk menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.

Dalam tahun 1896, satu kawasan peranginan untuk pegawai-pegawai serta saudagar telah dibina di atas Bukit Kutu berhampiran dengan bandar Kuala Kubu.

Aktiviti perlombongan bijih timah yang sangat giat dijalankan di Hulu Sungai Selangor akhirnya telah membawa padah yang besar bagi bandar Kuala Kubu.

Kesan sampingan yang terpaksa dihadapi adalah hakisan tanah yang teruk telah berlaku dan telah mengakibatkan pasir dan lumpur telah turun hanyut meliputi bandar Kuala Kubu setiap kali banjir besar berlaku.

Dalam tahun 1900 sehingga 1931, telah berlaku siri banjir-banjir besar yang bukan sahaja mengakibat kerugian harta benda, tapi menimbuskan sebahagian bandar Kuala Kubu dengar timbunan lumpur dan pasir.

Oleh yang demikian, Kuala Kubu tidak lagi selamat untuk diduduki bagi aktiviti ekonomi dan dalamtahun 1921, Pihak Berkuasa Tempatan kerajaan Inggeris telah mengistiharkan bahawa mereka tidak lagi dapat menjamin keselamatan penduduk Kuala Kubu lalu menggesa mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Masalah banjir ini menjadi begitu kronik sehingga pada tahun 1921 dan pusat pentadbiran Kuala Kubu dipindahkan ke Rasa. Dalam pada masa yang sama, pihak Inggeris telah merancang kawasan baru yang lebih tinggi dan selamat dari banjir bagi membangunkan bandar Kuala Kubu yang baru.

Mereka telah menggunakan khidmat seorang arkitek yang berasal dari New Zealand bernama Charles Compton Reade, untuk mereka pelan bandar yang baru. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 telah mempercepatkan lagi proses bagi membina bandar baru ini.

Akhirnya bandar ini pada asasnya telah siap dibina dalam tahun 1930 di mana pusat pentadbiran dipindahkan semula dari Rasa ke Kuala Kubu yang baru. Namun masih ada lagi penduduk tempatan di Kuala Kubu yang masih enggan berpindah ke Kuala Kubu Bharu ini kerana mata pencarian dan perniagaan mereka terletak di kawasan lama ini.

Dalam tahun 1931, berlaku satu lagi peristiwa banjir besar di mana akibatnya Kuala Kubu lama terus ditinggalkan oleh penduduknya ditelan pasir dan bumi.

Maka segala sejarahnya yang gilang gemilang sebagai bandar kolonial Inggeris yang makmur di Selangor telah terkubur di dalam tanah sehinggalah pada awal 1980 yang mana berlakunya penempatan dan pembangunan semula kawasan Kuala Kubu Lama dan Ampang Pecah ini.SUMBER-https://www.sejarah.my/asal-usul-kuala-kubu-bharu-selangor/

No comments:

Post a Comment