MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jika segelintir pemain bola sepak profesional memandu kereta mewah atau menunggang motosikal berkuasa tinggi ke pusat latihan, lain ceritanya bagi penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang memilih basikal untuk ke padang latihan.
Luqman, 18, yang menyertai kelab liga utama Belgium, KV Kortrijk (KVK) pada Ogos lalu membeli sebuah basikal baharu semalam bagi memudahkan pergerakannya untuk menjalani latihan dan bersiar-siar di bandar Kortrijk.
Malah, selain digunakan untuk ke pusat latihan, ia juga secara tidak langsung dapat membantu membina staminanya ketika berulang alik daripada rumahnya ke padang latihan.
"Ia mudahkan saya mengayuh basikal pada pagi untuk ke tempat latihan dan juga ke bandar. Ia (basikal baru) lebih laju daripada basikal yang sebelum ini. Saya sangat gembira dan ia mudah," katanya dalam video pendek yang dimuat naik kelabnya di laman Facebook rasmi KVK.
Video terbabit turut mencuri perhatian ribuan peminat bola sepak negara yang mengikuti rapat perkembangan pemain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.
Ramai yang memuji sikap bersederhana Luqman itu yang tidak boros berbelanja meskipun dia sebenarnya mampu untuk mendapatkan kenderaan mewah atapun menyewa kereta seperti Mercedes-Benz, Audi dan Ford.
Peminatnya, Nasrin Rahim berkata, kesusahan sekarang pasti akan membuahkan hasil dan tidak mustahil suatu hari nanti Luqman akan memandu kereta mewah ke pusat latihan.
"Pelan-pelan kayuh Luqman, pergi latihan naik basikal mula dari bawah. Satu hari nanti kalau dah berjaya di Eropah, ko pergi latihan naik Mustang, Ferrari, Lamborgini dan lain-lain," katanya.
Nicklos Nex pula berkata, penggunaan basikal akan dapat membantu Luqman membina otot supaya lebih sedia dengan cabaran di pentas Eropah.
"Takpa man (Luqman)..basikal pun basikallah. Yang penting ko 'perform' kat sana. Kayuh basikal lagi bagus, kuatkan daya tahan otot. "Sebagai pemain bola, memang kekuatan dan daya tahan otot kaki diperlukan selain kekuatan tubuh badan," kata Nicklos.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:55 PM
No comments:
Post a Comment