MyMetroNode
Kelana Jaya: Jurulatih negara Dollah Salleh akan memutuskan senarai 23 pemain untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste dan Palestin hari ini, namun pada masa sama mahu lebih berhati-hati agar tidak tersilap memilih pemain.
“Sehingga kini kami (jurulatih) masih berbincang, sudah ada gambaran.
“Saya akan memuktamadkan senarai pemain esok (hari ini). Saya agak khuatir jika kita melakukan kesilapan dalam memilih pemain.
“Esok (hari ini) latihan akan lebih tertumpu kepada 23 pemain yang terpilih terutamanya dalam memantapkan kesebelasan utama,” katanya.
Dollah bagaimanapun dijangka tidak dapat menggunakan khidmat pertahanan Sarawak Ronny Harun yang dilihat mengalami kecederaan dan tidak turun menjalani latihan semalam.
Seramai 31 pemain berada dalam kem latihan pusat sejak penghujung bulan lalu dengan lapan pemain akan digugurkan.
Skuad negara akan mengadakan aksi persahabatan menentang Hong Kong pada Sabtu sebelum aksi menentang Timor Leste dan Palestin.
Mengenai kapten Harimau Malaya, Dollah membayangkan perancang tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safiq Rahim bakal menggalas tugas berkenaan.
Safiq diberikan tanggungjawab berkenaan ketika aksi persahabatan menentang Kuantan FA beberapa hari lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 8:53 AM
No comments:
Post a Comment