ZURAIMEE ZAINAL | | 24 Oktober 2020
Luqman Hakim ketika bersedia untuk dimasukkan pada perlawanan Jupiler Pro League di Stadium Guldensporen, Kortrijk.
IMPIAN rakyat Malaysia untuk menyaksikan penampilan pertama anak tempatan di pentas saingan liga utama Eropah tercapai apabila Luqman Hakim Shamsudin diturunkan mengalas cabaran KV Kortrijk ketika melayan kunjungan Anderlecht pada aksi Jupiler Pro League di Stadium Guldensporen, Kortrijk.
Penampilan bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) berusia 18 tahun itu secara tidak langsung mengakhiri penantian bintang sensasi negara berkenaan sejak tiba ke Belgium pada Ogos lalu dengan kontrak lima tahun bersama kelab berkenaan.
Pemain berasal dari Kota Bharu itu membuat penampilan pertama pada minit ke-74 bagi mengantikan Petar Golubovic ketika tuan rumah ketinggalan tiga gol hasil jaringan Lucas Nmecha pada minit keenam dan (68') serta Percy Tau (30').
Percaturan pengendali Vanderhaeghe Yves memasukan Luqman berbaloi apabila pemain muda negara itu menjadi pencetus kepada pemain-pemain De Kerels untuk merapatkan jurang jaringan hasil jaringan Ilombe Mboyo pada minit ke-86 untuk keputusan 3-1.
Keputusan itu meletakkan KV Kortrijk kini berada pada kedudukan kesembilan liga dengan 14 mata manakala Anderlecht melonjak ke tangga keenam dengan 17 mata selepas kedua-dua pasukan mengharungi 10 perlawanan.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/106719/BERITA/Sukan/Luqman-Hakim-lakar-sejarah-di-bumi-Belgium© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
No comments:
Post a Comment