Ad

Thursday 29 October 2020

UMK temui telaga ada kaitan dengan Hang Tuah

| | 29 Oktober 2020




Penduduk Kampung Meranti Abd Hadi Omar, 67, (kiri) bersama Ahmad Syakir Mohd Massuruddin menunjukkan telaga dipercayai dibina oleh Hang Tuah ketika ditemui Bernama baru-baru ini.- Foto Bernama

PASIR MAS - Sepasukan penyelidik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa menemui sebuah telaga di Kampung Meranti di sini, yang didakwa telah wujud pada abad ke-15 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kedatangan Laksamana Hang Tuah.
Pengarah Kreatif Technopark yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK Mohd Aswawi Isa berkata, kewujudan telaga sedalam lebih 8 meter itu dipercayai dibina oleh Hang Tuah pada lebih 500 tahun lampau ketika dalam pelayarannya ke Siam pada ketika itu.
“Penduduk mendakwa telaga berkenaan yang dinamakan mereka sebagai Telaga Pancur itu dipercayai telah wujud lebih awal daripada pembukaan kampung itu sekitar pada tahun 1850 dan pernah tertimbus akibat banjir dan ditemui semula pada dua tahun lepas.
“Sebelah telaga ini pada zaman ketika itu terdapat sebatang sungai yang digunakan pedagang untuk mendapatkan air bersih dan sungai tersebut boleh sampai ke Patani ketika itu,” katanya kepada TV3 dan Bernama di sini hari ini.
Mohd Aswawi berkata, menurut hikayat, Hang Tuah yang telah diutuskan Sultan Melaka untuk ke Siam untuk membeli enam ekor gajah daripada Raja Siam Phra Chau, dipercayai telah singgah ke kampung itu untuk berehat.
“Ketika itulah Hang Tuah telah mengarahkan pengikutnya untuk sama-sama membina telaga selepas melihat kebersihan air mata air dan kemudiannya telah meneruskan pelayaran ke Siam,” katanya.
Beliau berkata, sampai ke Krisek, Patani, pahlawan itu telah berehat di sana dan kemudiannya telah membina perigi yang terkenal oleh penduduk di situ dengan nama perigi Hang Tuah.
Katanya, pihaknya akan meneruskan lagi kajian mendalam mengenai telaga berkenaan yang dilaporkan tidak pernah kering, walaupun pada musim kemarau yang menyamai dengan Perigi Hang Tuah di Melaka.
Sepasukan penyelidik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa menemui sebuah telaga di Kampung Meranti di sini, yang didakwa telah wujud pada abad ke-15 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kedatangan Laksamana Hang Tuah. - Foto Bernama
“Kita perlu mendapatkan lagi maklumat-maklumat yang tepat untuk kita jadikan satu lagi bahan sejarah terpenting negara, untuk melengkapkan sejarah Laksamana Hang Tuah ini,” katanya.
Bagi Pensyarah Fakulti Bio Kejuruteraan dan Teknologi UMK Wan Mohd Faizal Wan Ishak berkata, melalui kajian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau SIRIM Berhad, mendapati air daripada telaga itu adalah bersih.
"Air ini amat bersih dan boleh diminum, kerana kaitan punca airnya di bawahnya melalui lapisan batu,” katanya.
Bagi penjaga telaga itu Mohd Mansor Daud berkata, air daripada telaga itu yang dahulunya boleh diguna oleh seluruh penduduk kampung, kini hanya digunakan oleh penduduk sekitarnya termasuk sebuah maahad tahfiz.
“Memang bersejarah telaga ini dan kami juga telah mendapat pengesahan Sirim mengenai kebersihan telaga ini,” katanya.
Beliau berkata, demi keselamatan penduduk dan juga mengelak telaga itu daripada tertimbus lagi akibat banjir, telaga itu telah dibina dengan kedudukan yang lebih tinggi dan ditutup kawasan sekeliling dengan binaan zink dan air kini dijanakan dengan menggunakan pam elektrik.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/107575/EDISI/Kelantan/UMK-temui-telaga-ada-kaitan-dengan-Hang-Tuah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

No comments:

Post a Comment