Ad

Saturday, 10 October 2020

Harimau Malaya dijangka lebih bersedia tahun depan

MyMetroArena



BERNAMA

Melaka: Pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatihnya Tan Cheng Hoe, berkemungkinan akan bermain secara karnival bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, aksi itu dijangka berlangsung pada Mac dan Mei tahun depan di negara yang dibenarkan seperti di Qatar atau mana-mana negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekiranya situasi penularan Covid-19 itu berterusan.

"Walaupun tiada sebarang aksi kompetitif di peringkat antarabangsa tahun ini, namun penangguhan itu membolehkan skuad kebangsaan membuat persediaan bagi mengharungi pusingan kelayakan berkenaan.

"Mungkin mereka sudah lama tidak berlatih bersama tetapi kalau kita lihat, pemain-pemain kini bermain dengan kelab masing-masing dalam Liga Malaysia dan lebih bersedia untuk kejohanan itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO File NSTP

Terdahulu, Hamidin dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua Kumpulan G, dengan bertandang ke UAE pada 8 Oktober sebelum menyambut Vietnam, disusuli aksi bertemu Thailand (17 November).

Bagaimanapun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), menangguhkan baki aksi kempen tersebut ke tahun depan.

Dalam perkembangan lain Hamidin berkata, penganjuran pertandingan Piala Malaysia musim ini tetap akan diteruskan biarpun negara berdepan peningkatan kes Covid-19 ketika ini, namun pihaknya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Susulan pindaan jadual itu menyaksikan undian Piala Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 12 Oktober ditunda kepada 19 Oktober, sebelum kejohanan tertua di Asia Tenggara itu membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober ini berbanding jadual asal pada 16 hingga 18 Oktober.SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 8:26 PM

No comments:

Post a Comment