Ad

Friday, 23 October 2020

Luqman lakukan persiapan terbaik

MyMetroArena


Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bintang sensasi bola sepak negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui gembira dan akan cuba pamerkan aksi terbaik sekiranya diturunkan bersama skuad utama KV Kortrijk (KVK) bertemu RSC Anderlecht di Stadium Guldensporen, Kortrijk, awal pagi nanti.

Jelas pemain muda berusia 18 tahun itu, dia sama sekali tidak menyangka diberi peluang sepantas ini untuk disenaraikan bersama 18 pemain senior lain dalam pasukan yang beraksi di divisyen satu liga Belgium serta dikenali sebagai Jupiler Pro League.

Katanya, dia memanjatkan penuh kesyukuran dan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan itu seandainya diarahkan oleh Yves Vanderhaeghe.

"Perasaan saya agak gembira dan syukur dan Alhamdulillah... saya gembira sangat-sangat. Kalau diberi peluang (bermain) saya akan cuba beri aksi sebaik mungkin," katanya.

Skuad kendalian Vanderhaeghe berdepan pasukan berstatus gergasi RSC Anderlecht di halaman sendiri.

Luqman yang baru menyertai KVK pada Ogos lalu difahamkan berjaya memikat pengurusan pasukan sepanjang tiga aksi bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) KVK yang menyaksikan dia sudah meledak tiga gol bersama skuad pembangunan itu.

Apa yang pasti, peminat bola sepak negara pastinya teruja dengan berita itu apatah lagi aksi menentang RSC Anderlecht turut menarik perhatian memandangkan pasukan itu kini di bawah bimbingan bekas ketua pasukan Manchester City, Vincent Kompany.

Berdasarkan prestasi semasa pasukan, dijangka penyerang utama KVK, Ilombe Mboyo bakal menggalas tugas di depan Eric Ocansey selepas seorang lagi penyerang prolifik, Terem Moffi dijual kepada kelab Ligue 1 Perancis, FC Lorient pada bulan lalu.

Begitupun, sejak ketiadaan Moffi, jentera serangan KVK dilihat agak tumpul apabila hanya meledak empat gol dalam empat aksi yang menyaksikan mereka tewas dua kali, seri sekali dan menang sekali.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:16 PM

No comments:

Post a Comment