Ad

Saturday 10 October 2020

Pinda Liga M, Dollah ada masa

MyMetroNode

Kelana Jaya: Tempoh latihan lebih lama diberikan kepada jurulatih Dollah Salleh untuk menyiapkan pasukan bagi mengharungi kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 Jun ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju meminda jadual Liga M.

Keputusan itu dicapai hasil mesyuarat dengan pihak pengurusan pasukan dan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) semalam untuk memastikan tiada persiapan ‘tangkap muat’ Harimau Malaya sebelum beraksi dalam Kumpulan A membabitkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin dan Timor Leste.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin percaya tempoh latihan antara 10 hingga 15 hari sebelum aksi antarabangsa cukup untuk Dollah mempersiapkan pasukan sebelum sesuatu perlawanan.

Sebelum ini ruang yang diberikan hanya empat, lima hari tapi kali ini sekurang-kurangnya 10 hingga 15 hari.

Ini tempoh terbaik diberikan kerana jadual Liga M kita bermula agak lewat sedikit. Kita akan lihat juga jadual liga sedikit padat khususnya pada bulan Ramadan dan Ogos nanti,” katanya.

Selepas dibelasah Oman 0-6 pada aksi persahabatan bulan lalu hingga dikritik kerana menjejaskan ranking negara, Dollah menegaskan tidak mahu mengadakan perlawanan tanpa tempoh latihan cukup.

Bagi menghadapi aksi persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur pada 27 Mei di Stadium Shah Alam, kelayakan Kumpulan A dengan Timor Leste 11 Jun dan Palestin 16 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil, Dollah dibenarkan memanggil pemain dari 17 Mei hingga 17 Jun.

Namun khidmat 10 pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) terpaksa diketepikan bagi perlawanan dengan Spurs kerana mereka terbabit dalam kempen pusingan kedua Piala AFC termasuk beberapa pemain Pahang jika pasukan itu turut layak ke pusingan kalah mati kejohanan itu.

Hamidin berkata, FAM sedar akan ada rungutan daripada pasukan Liga M yang terpaksa mengharungi jadual padat namun menegaskan misi kelayakan Piala Dunia serta Piala Asia penting dan tidak sepatutnya ditanggung Dollah saja.

Semua pihak perlu berikan kerjasama kerana tugasan pasukan kebangsaan tanggungjawab bersama FAM, semua pasukan negeri dan kelab,” tegasnya.

Harimau Malaya akan berkumpul pada 19 hingga 25 Julai bagi persiapan menentang Liverpool dalam aksi persahabatan dan pada 23 Ogos hingga 19 September bersiap menghadapi UAE dan Arab Saudi bagi aksi kelayakan.

Selepas itu Dollah akan memanggil pemain kebangsaan semula pada 4 Oktober hingga 14 Oktober untuk persiapan perlawanan dengan Timor Leste dan 1 November hingga 18 November berdepan Palestin dan UAE.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:27 AM

No comments:

Post a Comment