Ad

Thursday, 22 October 2020

Santa Clara lawan pertama Safawi

 MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Santa Clara yang kini menghuni tangga keempat Liga Primeira, Portugal mungkin menjadi lawan pertama buat Safawi Rasid dalam misinya meraih penampilan sulung bersama Portimonense SC selepas hampir sebulan di bumi Eropah.

Pertembungan yang dijadualkan pada 1 November ini pastinya memberi ruang buat Safawi untuk terus memperkemaskan permainan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Portimonense SC terlebih dahulu sebelum beraksi dengan pasukan utama minggu depan.

Safawi, 23, sebelum ini beraksi dengan skuad B-23 menentang Sporting CP yang menyaksikan pasukannya tumbang 1-3 minggu lalu.

Menurut pemain sayap itu, impian untuknya merasai saingan sebenar Liga Portugal semakin hampir apabila jurulatih mula terpikat dengan aksinya.

"Untuk perlawanan akan datang saya akan bermain bersama skuad B-23 menentang Maritimo pada Ahad ini (25 Oktober) di tempat lawan.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar di sini dan cabaran merebut tempat dalam skuad utama sangat sengit. Bagi saya elok juga ketua jurulatih letak saya bermain bersama skuad B-23 untuk menyesuaikan diri.

"Insya-Allah tidak lama lagi rezeki saya akan sampai. Saya tahu rakyat Malaysia mahu melihat penampilan pertama saya bersama skuad utama di Portugal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu lagi, dia sentiasa berusaha untuk 'mencuri' tempat dalam pasukan sejak tiba di Portugal dan semangatnya tidak pernah luntur.

"Itu juga matlamat utama saya ketika membuat keputusan berpindah ke sini dan saya sentiasa berusaha keras ke arah itu dan jurulatih sudah terpikat dengan aksi saya," katanya.

Safawi berhijrah daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) selama semusim secara pinjaman dengan kelab Portugal itu diberi pilihan untuk membelinya selepas ini.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 10:57 PM

No comments:

Post a Comment