Ad

Wednesday 28 October 2020

Jangan malukan Luqman, Safawi

Oleh Zulfaizan Mansor - Oktober 28, 2020 @ 1:42pm

zulfaizan@bh.com.my



Penyokong di negara ini dinasihat tidak memberikan komen ‘mengarut' di laman media sosial rasmi kelab Luqman Hakim Shamsudin (kiri), KV Kortrijk dan pasukan baharu Safawi Rasid di Portugal, Portimonense SC bagi elak mereka dijadikan bahan sindiran dan ditertawakan rakan sepasukan.

KUALA LUMPUR: Penyokong alam maya atau 'netizen' diingatkan tidak memberikan komen yang melampau hingga boleh menyebabkan pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid menjadi bahan sindiran di Eropah.

Ia selepas terdapat komen 'mengarut' daripada segelintir rakyat negara ini di media sosial rasmi kelab Luqman, KV Kortrijk dan pasukan baharu Safawi di Portugal, Portimonense SC.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan komen yang yang keterlaluan di media sosial rasmi kelab boleh mengundang sindiran atau ejekan kepada dua pemain itu dalam pasukan mereka.

Beliau berkata, secara psikologi perkara itu boleh menambah tekanan dari luar padang kepada Luqman dan Safawi ketika dua pemain itu sedang berusaha menyesuaikan diri di bumi Eropah dan pasukan baharu.

"Kita sebagai peminat perlu bersifat realistik dan adil kepada Luqman serta Safawi supaya mereka tidak dijadikan bahan sindiran dalam pasukan," katanya kepada BH Sukan, semalam.

"Kita perlu berhati-hati dan menghormati mereka, jangan memberikan tekanan tambahan. Bila jadi bahan sindiran dan ejekan ini boleh menjejaskan mental dan fokus pemain."

Antara komen yang banyak dibuat netizen termasuk mempertikai keputusan kelab Luqman dan Safawi kerana tidak menyenaraikan dua pemain itu dalam perlawanan rasmi di liga masing-masing.

Tidak kurang juga ada yang menuduh pengambilan Luqman dan Safawi sekadar hanya mahu panaskan bangku simpanan KV Kortrijk dan Portimonense.

Malah, Luqman turut mengakui bahawa ada rakan sepasukan di KV Kortrijk yang menanyakan mengenai komen yang dibuat oleh netizen dari Malaysia.

Mengulas lanjut, Sadek berkata peminat seharusnya bersabar dan memberi ruang kepada Luqman dan Safawi menyesuaikan diri dengan realiti yang ada di Eropah.

"Penyokong perlu realistik bahawa standard yang ada di liga Eropah jauh lebih tinggi dan dalam aspek ini, sebagai manusia mereka patut lalui proses penyesuaian bukan hanya dari aspek bola sepak, malah merangkumi sosial dan budaya serta nilai dalam latihan dan pertandingan," katanya. SUMBER-SUKAN BH ONLINE

No comments:

Post a Comment