SUKAN
SAFAWI (kanan) cuba melepaskan diri daripada diasak pemain lawan ketika beraksi bersama skuad B-23 Portimonense menentang Sporting CP di Portugal kelmarin. – PORTIMONENSE SC
Safawi bakal beroleh manfaaf besar
Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
19 Oktober 2020, 10:10 amKEJAYAAN Portimonense SC menewaskan CS Maritimo 2-1 pada aksi Liga Primeira di Estadio dos Barreiros malam kelmarin memberikan petanda positif kepada penyerang prolifik Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid.
Ia merupakan kemenangan pertama Portimonense dalam empat aksi liga domestik pada musim 2020/2021 sekali gus melonjakkan kelab dari Partimao, Portugal itu pada kedudukan ke-12 dengan mengutip empat mata.
Berdasarkan aksi antara Portimonense dan Maritimo malam kelmarin, taktikal diterapkan skuad bimbingan Paulo Sergio itu dilihat sesuai dengan gaya serta corak permainan Safawi meskipun penyerang negara itu tidak diturunkan.
Portimonense dilihat gemar bermain hantaran pendek hingga membolehkan mereka mendominasi perlawanan dengan gerakan bermula dari bawah sebelum melancarkan serangan melalui pemain sayap.
Ia terbukti apabila Portimonense berjaya menguasai 61 peratus penguasaan dengan melakukan 411 hantaran walaupun Maritimo terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Rodrigo Pinho pada minit ke-51.
Disiplin permainan Portimonense yang menggunakan formasi 4-3-3 berjaya menuai hasil apabila bangkit meraih kemenangan menerusi dua gol daripada 10 percubaan tepat melalui Dener dan Anderson Oliveira pada minit ke-69 serta 64.
Safawi, 23, pastinya bakal meraih banyak manfaat menerusi gaya permainan Portimonense walaupun tidak diturunkan selepas anak jati Dungun, Terengganu itu bermain selama 56 minit bersama skuad bawah 23 tahun Portimonense menentang Sporting CP kelmarin.
“Biarpun saya tidak bermain tetapi sudah tentu saya gembira kerana pasukan meraih tiga mata pada musim ini,” kata Safawi yang dipinjamkan daripada gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Apa yang pasti, prestasi permainan pemain yang memiliki larian deras dengan kehebatan kaki kiri serta kemahiran sepakan lencong itu bakal meningkat sekali gus memberikan kelebihan buat skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe..SUMBER KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment