Oleh Asrol Awang - Oktober 30, 2020 @ 8:58pm
bhsukan@nstp.com.my
Pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme kembali berlatih selepas sembuh dari kecederaan.
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh lega selepas lima daripada enam pemainnya yang berdepan masalah kecederaan sebelum ini sudah kembali menjalani latihan untuk persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia.
Katanya, kehadiran semula Dickson Nwakaeme, Herold Goulon, Adam Reed, R Dinesh dan Faisal Abdul Halim amat bermakna ketika skuad Tok Gajah dalam persiapan menghadapi kempen piala berprestij itu.
"Saya lega apabila lima daripada enam pemain yang sebelum ini dihimpit masalah kecederaan sudah kembali berlatih. Walaupun Dickson belum benar-benar pulih tetapi ia cukup memberi harapan bahawa dia akan berada dalam kesebelasan utama.
"Diharapkan tempoh seminggu ini beliau dapat mencapai tahap kecergasan dan pulih 100 peratus untuk menajamkan jentera serangan," katanya.
Seorang lagi pemain, Zuhair Aizat Nazri pula masih lagi menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika berdepan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan terakhir saingan Liga Super lalu.
Ditanya persiapan pasukan Pahang menjelang kempen Piala Malaysia, Dollah berkata, segalanya mengikut perancangan.
"Saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain sepanjang sesi latihan dan diharapkan mereka dapat beraksi pada tahap terbaik sebaik Piala Malaysia bermula nanti," katanya.
Musim ini, pasukan Pahang menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketujuh selepas mengumpulkan 14 mata.sumber-bh online
No comments:
Post a Comment