Oleh Mohd Fariq - Oktober 25, 2020 @ 1:39pm
bhsukan@bh.com.my
Gambar fail, Penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin memperagakan jersi KV Kortrijk bersama pemilik kelab KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan sambil disaksikan Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal Gregoire selepas menandatangani pada Majlis Menandatangani Perjanjian Luqman Hakim Shamsudin dan KV Kortrijk di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Ogos lalu. - Foto Aizuddin Saad
Gambar fail, Penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin memperagakan jersi KV Kortrijk bersama pemilik kelab KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan sambil disaksikan Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal Gregoire selepas menandatangani pada Majlis Menandatangani Perjanjian Luqman Hakim Shamsudin dan KV Kortrijk di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Ogos lalu. - Foto Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: "Ingat, seluruh rakyat Malaysia akan menyaksikan kamu. Jangan takut dan harumkan nama negara!"
Itulah pendedahan ekslusif daripada penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin yang menceritakan kembali amanat istimewa daripada Tan Sri Vincent Tan ketika melakukan penampilan sulung bersama KV Kortrijk (KVK) awal pagi semalam.
Biarpun tewas 1-3 kepada RSC Anderlecht pada aksi Jupiler Pro League, Luqman, 18, mengakui pesanan pemilik KVK, Vincent Tan berjaya menaikkan motivasinya sebaik membuat penampilan pertama dengan KVK apabila menggantikan Petar Golubovic pada minit ke-74.
Ternyata percaturan jurulatih KVK, Yves Vanderhaeghe membawa masuk pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ilombe Mboyo pada minit ke-87.
Mengulas lanjut, Luqman tanpa berselindung mengakui dia semakin positif untuk terus berada dalam kesebelasan utama KVK pada perlawanan akan datang.
"Satu keputusan yang bukan diinginkan oleh kami tetapi secara peribadi, saya berpendapat keyakinan saya bertambah lebih baik biarpun diturunkan berbaki 16 minit perlawanan terakhir.
"Impian saya telah tercapai dan perlawanan ini adalah langkah pertama saya tetapi amanat Tan Sri (Vincent Tan) antara salah satu faktor telah menaikkan motivasi saya kerana Tan Sri mengingatkan saya supaya sentiasa serius apabila membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.
"Saya akui perlawanan bertambah sukar selepas kami ketinggalan 0-3 tetapi paling penting bagi saya adalah saya dapat merasai pengalaman buat pertama kali bermain di Jupiler Pro League ini," katanya ketika dihubungi di Kortrijk semalam.
Dalam perkembangan sama, Luqman mengakui kekalahan itu juga mematangkannya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Jelas Luqman, dia akan tampil lebih berani dan agresif sekiranya namanya sekali lagi dalam skuad utama pada perlawanan akan datang.
Lebih mustahak, Luqman mendedahkan dia sudah bersedia untuk memburu jaringan sulung di pentas Jupiler Pro League jika dapat bermain dalam kesebelasan utama KVK.
"Keyakinan saya semakin naik, mungkin 100 peratus lagi (bertambah naik) sebaik saya diturunkan.
"Saya akan lebih bersedia jika dapat diturunkan dalam kesebelasan utama dan mungkin saya mahu mencari gol pertama buat KVK selepas ini," ujarnya.
Sementara itu, Vincent mengakui gembira selepas Luqman akhirnya diberi peluang beraksi bersama skuad utama.
"Walaupun Luqman tidak menjaringkan gol, ia satu permulaan kariernya dalam liga bola sepak Belgium.
"Saya yakin Luqman akan menjaringkan gol apabila diberi lebih banyak peluang beraksi bersama skuad utama," katanya.sumber- bh online
No comments:
Post a Comment